Kesan penggunaan puting kosong terhadap tempoh penyusuan badan dalam golongan bayi cukup bulan

Apakah isunya dan mengapakah isu ini penting?

Puting kosong, iaiu alat yang digunakan untuk menenangkan bayi, telah menjadi budaya biasa di merata tempat di dunia. Penggunaan puting kosong tanpa had mungkin boleh menyebabkan kekeliruan puting dalam golongan bayi baru lahir dan seterusnya penamatan awal penyusuan badan. Kami ingin menerokai kesan menghadkan penggunaan puting kosong terhadap tempoh penyusuan badan.

Apakah bukti yang kami dapati?

Kami telah mengemaskini carian pada 30 Jun 2016. Kami telah mengenal pasti tiga kajian, dengan jumlah 1915 orang bayi. Satu kajian tidak termasuk dalam analisis. Oleh itu, ulasan ini berdasarkan dua kajian yang melibatkan 1302 bayi. Golongan ibu dalam kedua-dua kajian digalakkan untuk menyusu diambil sebaik sehaja selepas kelahiran dan pada usia dua minggu bayi masing-masing. Kami mendapati bahawa penggunaan puting kosong tanpa had tidak menjejaskan jumlah bayi yang mendapat penyusuan eksklusif atau separa pada usia tiga dan empat bulan. Penemuan kedua-kedua kajian adalah amat konsisten. Kami menilai bahawa bukti ini adalah berkualiti sederhana. Tiada maklumat didapati mengenai kesan penggunaan puting kosong terhadap kesukaran penyusuan badan oleh ibu, kepuasan ibu, tangisan bayi serta masalah bayi seperti radang telinga tengah dan maloklusi gigi.

Apakah maksudnya?

Bagi golongan ibu yang bermotivasi untuk memberi susu badan kepada bayi mereka, terdapat bukti berkualiti sederhana bahawa pengunaan puting kosong dalam golongan bayi cukup bulan yang sihat sebelum dan selepas penyusuan badan dimulakan tidak mengurangkan tempoh penyusuan badan sehingga umur 4 bulan. Walau bagaimanapun, maklumat tidak mencukupi untuk memberi informasi tentang kemudaratan puting kosong terhadap bayi dan ibu. Sehingga maklumat lanjut tentang kesan puting kosong terhadap bayi tersedia, golongan ibu yang bermotivasi untuk menyusu badan perlu digalakkan untuk membuat keputusan sama ada untuk menggunakan puting kosong atau tidak berdasarkan pilihan sendiri.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Teng Jo Ann (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi joann@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan