Mailuoning (sejenis perubatan tradisional Cina) untuk menambahbaikkan hasil terhadap orang dengan strok iskemia akut

Soalan Kajian:Kami mahu membandingkan keselamatan dan kesan mailuoning berbanding dengan plasebo atau tanpa rawatan untuk mengurangkan kematian dan pergantungan dalam orang dengan strok iskemia akut.

Latar Belakang:Mailuoning adalah sejenis perubatan tradisional Cina, yang digunakan secara meluas dalam rawatan strok iskemia akut di China walaupun kesannya masih tidak menentu. Eksperimen haiwan kajian dan penyelidikan farmakologi klinikal menunjukkan bahawa mailuoning mungkin dapat meningkatkan peredaran darah, mengelakkan kecederaan iskemia, dan melindungi jantung dan tisu otak. Oleh itu, kami berusaha untuk menjalankan kajian untuk mengetahui sama ada menggunakan terapi mailuoning adalah lebih baik atau lebih buruk daripada plasebo atau tanpa rawatan tambahan bagi orang dengan strok iskemia akut.

Ciri-ciri Kajian:Kami telah mencari kajian sehingga Jun 2014 dan termasuk 21 kajian rawak terkawal yang melibatkan 1746 peserta, daripada mailuoning bagi mereka dengan strok iskemia akut. Dua kajian telah menyusuli peserta selama tiga bulan selepas rawatan berakhir, tetapi tempoh kajian lain adalah lebih pendek, 14-38 hari. Sebuah agensi kerajaan yang telah membiayai salah satu daripada 21 kajian yang disertakan.

Keputusan utama:Kami telah menilai 20 kajian sebagai kualiti yang rendah. Apabila kita menganalisis kajian tersebut bersama-sama, tiada perbezaan yang ketara bagi kesan buruk antara kumpulan rawatan-mailuoning dan kumpulan kawalan; mailuoning menambahbaik kemerosotan saraf dan fungsi kognitif dengan ketara. Satu kajian, dinilai sebagai kualiti yang lebih tinggi, gagal menunjukkan sebarang peningkatan yang ketara dibuat oleh mailuoning terhadap defisit neurologi, aktiviti kehidupan harian, atau kualiti hidup. Tidak ada bukti yang menyakinkan dari kajian dengan kualiti kaedah yang mencukupi untuk menyokong penggunaan rutin mailuoning bagi menggalakkan pemulihan selepas strok. Kajian rawak terkawal berskala besar yang berkualiti tinggi diperlukan untuk mengesahkan kesannya.

Kualiti bukti:Kami telah menilai 20 daripada 21 kajian yang dilibatkan sebagai kualiti yang rendah terhadap kaedah kajian mereka; kita telah menilai satu kajian sebagai kualiti yang lebih tinggi, tetapi peserta dalam kajian tersebut adalah kurang. Secara keseluruhannya, kualiti bukti adalah rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information