Dorongan kendiri (MI) untuk mencegah penyalahgunaan alkohol tidak cukup berkesan dalam kalangan orang dewasa muda

Soalan ulasan

Kami mengkaji semula bukti mengenai kesan dorongan kendiri (MI), satu cara kaunseling untuk membawa keluar dan mengukuhkan sebab-sebab untuk mengubah tingkah laku, bagi mengelakkan penyalahgunaan alkohol dalam kalangan orang muda.

Latarbelakang

Penyalahgunaan alkohol menyebabkan kira-kira 3.3 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia. Sekitar 9% daripada kematian yang berlaku pada orang yang berumur 15 hingga 29 tahun adalah berpunca daripada alkohol, akibat kemalangan kereta, kes homisid, bunuh diri dan lemas.

Kami ingin mengetahui jika MI mempunyai kesan ke atas pencegahan penyalahgunaan alkohol dan masalah dalam kalangan orang dewasa muda yang berumur sehingga 25 tahun. Jika mereka yang terlibat dengan menangani penyalahgunaan alkohol dalam kalangan orang muda ingin mengamalkan MI, bukti yang jelas perlu untuk menyokongnya.

Tarikh carian :Bukti ini adalah terkini sehingga Disember 2015.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati sebanyak 84 kajian rawak terkawal (kajian di mana para peserta dibahagikan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan atau kawalan) yang membandingkan MI dengan tiada intervensi atau dengan pendekatan yang berbeza. Tujuh puluh daripada kajian tersebut menumpukan kepada individu berisiko tinggi atau persekitaran. Kami khususnya berminat dalam kajian dengan tempoh susulan 4 bulan atau lebih, dan tempoh susulan tipikal ialah 12 bulan. Kami juga menilai kualiti reka bentuk kajian-kajian tersebut dengan kesesuaiannya untuk penyelidikan kami, mendapati bahawa kajian-kajian tersebut menyediakan bukti sederhana hingga berkualiti rendah.

Dalam 66 kajian, MI terdiri daripada satu sesi, individu. Dalam 12 kajian, anak-anak muda menghadiri beberapa sesi individu atau campuran kedua-dua sesi individu dan sesi kumpulan. Enam kajian menggunakan sesi kumpulan MI sahaja. Panjang sesi MI adalah berubah-ubah, tetapi dalam 57 kajian ia adalah satu jam atau kurang. Intervensi MI yang paling singkat adalah10 hingga 15 minit, dan yang paling lama mempunyai lima sesi khusus MI dalam tempoh 19 jam.

Persekitaraan untuk pelbagai kajian: 58 daripada 84 kajian berlaku di persekitaraan kolej (terutamanya universiti dan juga empat vokasional) . Baki kajian berlangsung di lokasi penjagaan kesihatan, satu pusat belia, syarikat-syarikat tempatan, pusat latihan yang berkaitan dengan kerja, persekitaraan pengambilan tentera, agensi ubat UK dan penjara belia.

Jumlah orang dewasa muda adalah 22,872 berusia purata dari 15 hingga 24 tahun. Perkadaran lelaki dalam kajian dengan kedua-dua lelaki dan perempuan adalah di antara 22% hingga 90%. Kumpulan etnik orang dewasa muda ini biasanya bercampur-campur, tetapi 52 daripada 67 kajian yang melaporkan etnisiti terlibat kebanyakannya orang putih.

Keputusan utama

Pada empat bulan atau lebih susulan, kami dapati hanya kesan kecil atau sempadan yang menunjukkan bahawa MI mengurangkan kuantiti alkohol yang digunakan, kekerapan pengambilan alkohol, masalah alkohol dan puncak kepekatan alkohol dalam darah (BAC). Kami tidak mendapati sebarang kesan untuk minum lewah, purata BAC, minum-memandu atau lain-lain tingkah laku berisiko yang berkaitan dengan arak. Kami mendapati tiada hubungan antara panjang MI dan keberkesanannya. Juga, tiada perbezaan jelas subkumpulan untuk kesan apabila kami mengkaji jenis kumpulan perbandingan (hanya menilai kumpulan kawalan atau intervensi alternatif, persekitaran (kolej/universiti berbanding persekitaran lain), atau status risiko (pelajar berisiko tinggi berbanding semua pelajar/pelajar berisiko rendah).

Tiada kajian yang melaporkan sebarang kejadian buruk berkaitan MI.

Walaupun kami mendapati beberapa kesan MI yang signifikan, kami meyakini kekuatan kesan adalah sedikit, oleh itu tidak mungkin memberi apa-apa kelebihan dalam amalan.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, hanya terdapat bukti berkualiti rendah atau sederhana untuk kesan-kesan yang ditemui dalam ulasan ini. Kebanyakan kajian tidak menerangkan bagaimana orang muda diperuntukkan kepada kumpulan-kumpulan kajian atau bagaimana mereka menyembunyikan peruntukan kumpulan dari peserta dan kakitangan. Kadar tercicir juga menjadi isu dalam banyak kajian. Masalah dengan kualiti kajian boleh menyebabkan anggaran kesan MI melambung, jadi kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa sebarang kesan kecil yang diperhatikan dalam kajian ini adalah terlebih catat.

"US National Institutes of Health" menaja separuh (42/84) daripada kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini. Dua puluh sembilan kajian tidak memberi maklumat mengenai pembiayaan, dan hanya lapan kertas mempunyai kenyataan konflik kepentingan yang jelas.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).

Tools
Information