Pembedahan terbuka berbanding tertutup bagi pendedahan gigi mata yang tersesar dalam lelangit mulut

Soalan ulasan

Adakah lebih baik menggunakan kaedah pembedahan terbuka atau tertutup untuk mendedahkan gigi mata (kanin) yang telah tersesar ke dalam lelangit mulut?

Latar belakang

Gigi kanin kekal di rahang atas sering keluar ke dalam mulut di antara umur 11 hingga 12 tahun. Di dalam 2% hingga 3% orang muda, gigi kanin gagal untuk keluar (tumbuh ke bawah) dan tersesar ke lelangit mulut. Ini meninggalkan ruang yang hodoh, merosakkan akar gigi berhampiran (boleh menjadi teruk sehingga kehilangan gigi bersebelahan atau terpaksa dibuang) dan kadangkala menyebabkan pembentukan sista.

Pengurusan masalah ini adalah mahal dan memakan masa. Ia sering melibatkan dedahan pembedahan (membuka), diikuti dengan pendakap ortodontik untuk dua hingga tiga tahun, bagi menggerakkan kanin ke posisi yang betul. Dua teknik pembedahan yang sering digunakan di UK: teknik tertutup melibatkan pembukaan gigi yang tertanam, melekatkan atakmen kepada gigi yang didedahkan dan membetulkan semula posisi flap palatal. Sejurus selepas pembedahan, pendakap ortodontik digunakan untuk mengaplikasikan daya ringan bagi membawa kanin ke posisi yang betul di arkus pergigian. Kanin akan bergerak ke posisi di bawah gusi. Kaedah alternatif adalah teknik terbuka yang melibatkan pembukaan secara pembedahan seperti di atas, tetapi meletakkan atakmen pada gigi yang terdedah, gusi di sekeliling gigi tersebut di buang dan dresing (pek) diletak untuk menutup bahagian yang terdedah. Lebih kurang 10 hari kemudian, pek dibuang dan kanin dibiarkan keluar secara semulajadi. Apabila gigi tersebut telah keluar secukupnya untuk atakmen ortodontik dilekatkan pada permukaannya, pendakap ortodontik diguna untuk mengaturnya dengan gigi-gigi lain.

Ciri kajian

Bukti ulasan adalah terkini sehingga Februari 2017. Para penulis Kesihatan Oral Cochrane menemui tiga kajian yang berkaitan, melibatkan 146 peserta yang mempunyai gigi mata yang tersesar ke dalam lelangit mulut, sama ada di satu atau kedua-dua sisi. Kebanyakan peserta adalah wanita dan purata umur mereka dalam kajian-kajian tersebut adalah 14 hingga 17 tahun. Dua kajian mempunyai rekabentuk yang berkemungkinan bias.

Keputusan utama

Kami menggabungkan keputusan tiga kajian dan mendapati bahawa satu teknik tidak menunjukkan kelebihan berbanding teknik yang lain untuk memastikan pergerakan gigi ke posisi yang betul tanpa memerlukan pembedahan ulangan.

Lima daripada 141 peserta yang dianalisis adalah pembedahan-pembedahan yang gagal, di mana satu adalah akibat komplikasi penanggalan rantaian emas semasa pembedahan. Satu kajian melaporkan komplikasi selepas pembedahan dan mendapati seorang peserta dalam kumpulan kaedah tertutup mendapat jangkitan selepas pembedahan dan memerlukan antibiotik dan seorang lagi dalam kumpulan kaedah tertutup mengalami sakit semasa penjajaran kanin kerana rantaian emas menembusi tisu gusi di lelangit.

Kami tidak dapat menggabungkan keputusan daripada kajian-kajian tersebut untuk hasil-hasil lain, tetapi kajian individu tidak menunjukkan bukti perbezaan di antara kedua-dua teknik bagi sakit, ketakselesaan, rupa, kesihatan gusi, tempoh masa rawatan atau kos (bukti berkualiti rendah sehingga sangat rendah).

Kualiti bukti

Secara keseluruhan kami menilai bukti sebagai kualiti rendah, yang bermaksud kami tidak pasti tentang penemuan ini.

Rumusan penulis

Satu teknik pembedahan tidaklah lebih baik dari yang satu lagi untuk menggerakkan gigi mata ke posisi yang betul, atau untuk hasil-hasil lain, tetapi penemuan ini adalah tidak pasti kerana kualiti bukti yang rendah. Ini bermakna, lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan. Tiga kajian sedang berjalan Apabila telah lengkap, kami akan memasukkannya dalam ulasan kemaskini dan mungkin boleh mencapai rumusan yang lebih kukuh.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information