Bolehkah probiotik (mikroorganisma hidup) mencegah jangkitan saluran pernafasan atas seperti selesema biasa?

Mesej utama

Probiotik mungkin bermanfaat dalam pencegahan sekurang-kurangnya satu kejadian jangkitan saluran pernafasan atas akut (URTI), dan berkemungkinan bermanfaat dalam pencegahan sekurang-kurangnya tiga kejadian URTI. Lebih banyak kajian yang dijalankan ke atas warga emas diperlukan. Kajian lebih besar yang direka bentuk dengan baik diperlukan untuk memberikan anggaran yang lebih baik tentang faedah dan potensi bahaya penggunaan probiotik.

Apakah jangkitan saluran pernafasan atas akut?

URTI akut termasuk selsema, influenza, dan jangkitan tekak, hidung atau sinus. Gejala termasuk demam, batuk, sakit dan sakit kepala. Kebanyakan URTI akut disebabkan oleh virus, dan biasanya sembuh dalam masa tiga hingga tujuh hari.

Apakah itu probiotik?

Perihalan biasa probiotik ialah mikroorganisma hidup yang memberi kesan yang baik kepada tubuh apabila diambil dalam jumlah yang mencukupi. Bakteria asid laktik dan bifidobakteria adalah jenis yang paling biasa dan biasanya dimakan dalam makanan yang ditapai, seperti yogurt dan yogurt soya, atau sebagai makanan tambahan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada probiotik mencegah URTI akut pada semua peringkat umur dengan sistem imun yang sihat.

Apakah yang telah dilakukan oleh pengulas?

Kami mencari kajian yang menyiasat probiotik untuk URTI. Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap kualiti bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 24 kajian. Kami menganalisis data daripada 6950 orang, termasuk kanak-kanak (berumur dari 1 bulan hingga 11 tahun), orang dewasa (min umur 37.3 tahun) dan orang yang lebih tua (min umur 84.6 tahun) dari Itali, Jepun, Amerika Syarikat, Croatia, England, Finland, Sweden, Chile, China, Denmark, Jerman, Thailand dan Turki. Tidak jelas di negara mana dua kajian dijalankan. Kebanyakan kajian dijalankan di komuniti, kemudahan penjagaan, sekolah, dan hospital selama tiga bulan semasa musim sejuk/musim bunga. Probiotik lebih berkemungkinan diberikan dengan makanan berasaskan susu pada kanak-kanak, dalam bentuk serbuk pada orang dewasa, dan dengan makanan berasaskan susu atau kapsul pada orang tua. Satu atau dua strain (cth Lactobacillus plantarum HEAL9, Lactobacillus paracasei (8700:2 atau N1115)) dan 10 9 atau 10 11 unit pembentuk koloni (CFU)/hari probiotik telah digunakan dalam kebanyakan kajian.

Keputusan utama

Probiotik mungkin mengurangkan bilangan orang yang didiagnosis dengan sekurang-kurangnya satu URTI sebanyak kira-kira 24%; kemungkinan mengurangkan bilangan orang yang didiagnosis dengan sekurang-kurangnya tiga URTI sebanyak kira-kira 41%; mungkin mengurangkan kadar kejadian (bilangan kes baharu dalam tempoh masa tertentu) URTI akut sebanyak kira-kira 18%; kemungkinan mengurangkan tempoh purata episod URTI akut kira-kira 1.22 hari; berkemungkinan mengurangkan bilangan orang yang menggunakan antibiotik untuk URTI sebanyak kira-kira 42%; dan mungkin tidak meningkatkan bilangan orang yang mengalami kesan sampingan (sebarang bahaya). Bukti yang menunjukkan penurunan bilangan orang yang tidak hadir ke pusat jagaan kanak-kanak, sekolah atau bekerja kerana URTI akut dengan probiotik adalah sangat tidak pasti.

Apakah batasan bukti?

Kami cukup yakin bahawa probiotik mengurangkan bilangan orang yang didiagnosis dengan sekurang-kurangnya tiga URTI dan bilangan orang yang menggunakan antibiotik untuk URTI, dan mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti bahawa probiotik mengurangkan bilangan orang yang didiagnosis dengan sekurang-kurangnya satu URTI, kadar kejadian URTI akut, tempoh purata episod URTI akut, dan meningkatkan bilangan orang yang mengalami kesan sampingan (sebarang bahaya). Bukti yang menunjukkan penurunan bilangan orang yang tidak hadir ke pusat jagaan kanak-kanak, sekolah atau bekerja kerana URTI akut dengan probiotik adalah sangat tidak pasti. Sebab utama pengehadan bukti adalah orang dalam kajian mungkin mengetahui rawatan yang mereka dapatkan, dan tidak semua kajian memberikan data tentang semua yang kami minati.

Adakah bukti ini mutakhir?

Bukti adalah terkini sehingga 10 Mei 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ch'ng Chin Chin (Pusat Penyelidikan Klinikal, Hospital Pulau Pinang). Disunting oleh Lai Nai Ming (School of Medicine, Taylor's University, Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information