Isoniazid untuk mencegah penyakit tuberkulosis dalam kalangan kanak-kanak yang dijangkiti HIV

Apakah matlamat ulasan ini?

Untuk merumuskan kesan profilaksis isoniazid terhadap TB, kematian, dan kesan-kesan buruk dalam kalangan kanak-kanak HIV-positif.

Mesej utama

Di kawasan endemik tuberkulosis yang tinggi, profilaksis isoniazid mencegah TB aktif dan kematian dalam kalangan kanak-kanak HIV-positif yang tidak dirawat ART.

Kami menjalankan satu ulasan untuk menilai kesan ubat TB terhadap TB aktif atau kematian dan keselamatan penggunaannya dalam kalangan kanak-kanak HIV-positif.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

TB merupakan penyebab lazim penyakit paru-paru teruk dan kematian dalam kanak-kanak HIV-positif. TB dalam kanak-kanak adalah lazim di negara-negara miskin, terutamanya negara yang ada beban penyakit HIV/AIDS pada masa sama. Kanak-kanak HIV-positif berisiko lebih tinggi untuk menghidap TB berbanding kanak-kanak HIV-negatif. Isoniazid mencegah TB dalam kalangan orang dewasa HIV-positif dan kini digunakan untuk kanak-kanak yang berisiko tinggi mendapat penyakit TB selepas terdedah kepada seseorang yang menghidap TB. Walau bagaimanapun, maklumat adalah terhad tentang kesan isoniazid dalam mengurangkan TB aktif atau kematian jika diberi kepada kanak-kanak HIV-positif yang tidak mempunyai kontek TB yang diketahui.

Kami mencari kajian-kajian sehingga 17 Februari 2017, dan mendapati tiga kajian yang diterbitkan antara 2007 dan 2014 yang mengkaji kesan ubat isoniazid berbanding dengan tiada ubat-ubatan terhadap TB aktif dan kematian dalam 991 kanak-kanak HIV-positif di bawah usia 13 tahun. Kebanyakan kanak-kanak ini mengambil terapi antiretroviral (ART) dan kajian-kajian ini telah dijalankan di Afrika Selatan dan Botswana. Tempoh median susulan adalah dalam julat 5.7 hingga 34 bulan.

Apakah keputusan utama ulasan?

Dalam kanak-kanak HIV-positif yang tidak mengambil ART, ubat isoniazid telah mengurangkan jumlah kanak-kanak yang menghidap TB aktif sebanyak 69% (kepastian bukti rendah), dan kematian sebanyak 54% (kepastian bukti rendah).

Satu kajian telah dijalankan dalam kanak-kanak HIV-positif yang mengambil ART, dan kajian ini tidak mengesan sebarang manfaat atau mudarat isoniazid (kepastian bukti amat rendah).

Bilangan kanak-kanak dengan kesan buruk adalah sama antara kanak-kanak yang menerima ubat isoniazid berbanding dengan kumpulan kawalan dalam kedua-dua kumpulan kanak-kanak yang mengambil ART dan tidak mengambil ART.

Adakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari kajian yang diterbitkan sehingga Februari 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Huey Fern (Penang Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi hueyfern_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan