Kemoterapi untuk kanser mulut dan tekak

Apakah masalahnya?

Kanser kaviti oral (mulut) dan oropharynx (tekak) yang dikesan awal dirawat terutamanya dengan pembedahan atau radioterapi. Rawatan ini berkesan menyembuhkan kanser dan memperbaik survival. Walau bagaimanapun, dengan pembedahan dan radioterapi sahaja, masih ada peluang kanser akan berulang, yang boleh memendekkan survival pesakit. Penambahan kemoterapi kepada pembedahan atau radioterapi boleh membantu memperbaik survival.

Mengapa topik ini penting?

Rawatan kemoterapi adalah ubat-ubatan yang berfungsi membunuh sel-sel yang membahagi dengan cepat seperti sel-sel kanser. Terdapat sel-sel lain membahagi dengan cepat dalam badan kita, seperti pada kulit atau usus. Kemoterapi boleh juga mempengaruhi sel-sel yang sihat, yang mana rawatan ini boleh memberi kesan sampingan yang tidak menyenangkan.

Dalam rawatan kanser, kemoterapi boleh diberi sebelum pembedahan atau radioterapi, semasa radioterapi atau selepas rawatan dengan pembedahan atau radioterapi. Terdapat juga pelbagai jenis kemoterapi yang boleh diberi sama ada sebagai pil atau melalui vena (intravena). Perbezaan cara pemberian kemoterapi dan jenis kemoterapi mungkin memberi pelbagai kesan terhadap survival. Buat masa ini, kami tidak tahu cara mana yang terbaik.

Ulasan ini mengemas kini terbitan terdahulu pada 2011.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu jika kemoterapi yang diberi dengan pembedahan atau radioterapi memperbaik survival. Kami juga ingin tahu jika kemoterapi yang diberi dengan pembedahan atau radioterapi memperbaik kecenderungan mengecutkan kanser dan jika rawatan ini mengurangkan risiko kanser kembali (berulang).

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari beberapa pangkalan data elektronik untuk kajian-kajian yang menilai penambahan kemoterapi sebelum, semasa atau selepas sama radioterapi atau pembedahan dalam kalangan pesakit dewasa (umur > 18 tahun) dengan kanser kaviti oral atau orofarinks.

Kami kategorikan kajian-kajian kepada empat kumpulan dan keputusan gabungan dalam setiap kategori. Kami menilai kebolehpercayaan bukti yang ditemui.

Apakah kajian-kajian yang kami dapati?

Kami menemui 100 kajian yang menilai penggunaan kemoterapi dengan pembedahan atau radioterapi. Lebih 18,000 pesakit dari seluruh dunia telah terlibat. Tiga puluh enam kajian menilai penggunaan kemoterapi sebelum pembedahan atau radioterapi; 11 kajian menilai penggunaan kemoterapi selepas pembedahan atau radioterapi; 30 kajian menilai penggunaan kemoterapi bersama dengan radioterapi; dan 23 kajian menilai pelbagai ubat kemoterapi yang diberi sebelum, semasa atau selepas pembedahan atau radioterapi.

Apakah keputusan utama?

Kami tidak menemui bukti jelas kemoterapi yang diberi sebelum pembedahan atau radioterapi memperbaik survival. Begitu juga, kemoterapi yang diberi selepas pembedahan tidak dilohat memperbaik survival .

Kami dapati rawatan radioterapi dan kemoterapi pasca pembedahan, berbanding radioterapi sahaja pasca pembedahan, boleh meningkatkan kecenderungan survival. Juga, dalam kalangan pesakit yang tidak layak untuk pembedahan, ia mungkin memperbaik survival jika kemoterapi ditambah kepada radioterapi, berbanding rawatan radioterapi sahaja. Tiada cukup bukti untuk menentukan ubat kemoterapi terbaik untuk diguna.

Adakah keputusan-keputusan ini boleh percaya?

Terdapat perbezaan antara kajian yang disertakan dari segi jenis kajian dan bilangan peserta yang disertakan, serta jenis ubat kemoterapi yang diberi. Perbezaan ini mungkin memberi impak kepada keputusan. Oleh itu, kami tidak pasti tentang keputusan ini dan penyelidikan masa depan boleh mengubah kesimpulan kami.

Apakah maksudnya?

Keputusan ini menyokong tambahan kemoterapi bersama radioterapi dalam kalangan pesakit yang telah menjalani pembedahan untuk kanser kaviti oral atau orofarinks. Dalam kalangan pesakit yang tidak layak untuk pembedahan, keputusan kami menyokong penggunaan kemoterapi dengan radioterapi berbanding radioterapi sahaja.

Kami membuat kesimpulan tiada cukup bukti untuk menyokong penggunaan kemoterapi di luar situasi ini. Kami percaya ini menekankan keperluan kajian lanjutan penggunaan kemoterapi bersama pembedahan atau radioterapi.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Ulasan ini telah dikemas kini kepada September 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information