Akupunktur sebagai modaliti rawatan untuk pesakit-pesakit yang mempunyai glaukoma

Glaukoma adalah satu keadaan yang merosakkan saraf optik dan memberi kesan terutamanya kepada penglihatan bahagian tepi. Ia merupakan sebab utama bagi kebutaan seluruh dunia. Walaupun terdapat pelbagai rawatan, termasuk titisan mata, rawatan laser, dan kaedah pembedahan, sesetengah pesakit mungkin mencari pendekatan perubatan komplimentari atau alternatif seperti akupunktur sebagai tambahan kepada rawatan biasa mereka. Ulasan ini bertujuan untuk menilai bukti yang ada dalam penemuan kajian yang dibuat secara terkawal dan rawak bagi menilai samada akupunktur adalah berguna dan selamat dalam merawat pesakit-pesakit yang mempunyai glaucoma. Kami memasukkan ke dalam ulasan ini satu kajian yang telah siap dan satu yang masih lagi berjalan, dan kami merekodkan tujuh kajian (kesemuanya telah diterbitkan dalam bahasa Cina) menunggu penilaian untuk kelayakan. Kajian yang telah siap, telah dijalankan di Taiwan ke atas 33 orang pesakit. Kajian ini membandingkan akupunktur aurikular - satu teknik akupunktur yang bukan standard - berbanding dengan prosedur 'sham' (iaitu prosedur palsu yang direka menyerupai yang benar) untuk glaukoma. Kajian tersebut mengukur tekanan intraokular dan akuiti visual semasa temujanji berjangkamasa lapan minggu. Kualiti kajian ini tidak tinggi. Mengikut penemuan kajian ini, 'acupressure' aurikular merendahkan tekanan intraokular sebanyak lebih kurang 4 mm Hg untuk mata kanan dan lebih kurang 5 mm Hg untuk mata kiri pada empat minggu, tetapi tidak berkesan secara signifikan pada tempoh masa yang lain ataupun untuk hasil visual yang lain. Keselamatan akupunktur tidak diperiksa dalam kajian ini. Sehingga kini, kajian yang masih berjalan "Akupunktur untuk Glaukoma" belum merekrut mana-mana peserta. Atas dasar bukti yang ada pada masa ini, manfaat dan bahaya akupunktur sebagai satu modaliti terapeutik untuk glaukoma tidak boleh disyorkan. Penglibatan tujuh kajian Cina yang masih menunggu penilaian untuk kelayakan di masa hadapan mungkin mengubah kesimpulan kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my.

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan