Penggunaan phenobarbital antenatal untuk mengurangkan jaundis neonatal selepas pengisoimunan sel darah merah

Terdapat kekurangan bukti tentang penggunaan phenobarbital antenatal untuk mengurangkan jaundis dalam kalangan bayi yang dilahirkan oleh ibu yang darahnya tidak serasi dengan bayi.

Darah ibu dan bayi secara normal tidak bercampur semasa hamil. Walau bagaimanapun, kadangkala boleh berlaku kebocoran dari bayi kepada ibunya, dan ini lebih kerap terjadi semasa pelahiran dan bersalin berbanding semasa hamil. Apabila sel darah merah bayi dan ibunya tidak serasi, dan jika kebocoran adalah besar, sel-sel bayi akan merangsang penghasilan antibodi dalam ibu, lalu ibu menjadi peka(pengisoimunan). Dalam kehamilan berikutnya, jika darah bayi dan ibu sekali lagi tidak serasi, sel darah merah bayi boleh termusnah apabila antibodi ibu merentas plasenta dan menyerang sel darah bayi. Hati bayi akan bermasalah untuk bertahan dengan hasil sampingan (bilirubin) pemusnahan sel darah merah, menyebabkan anemia dan jaundis. Oleh kerana phenobarbital memperbaiki fungsi hati, pemberiannya kepada ibu sebelum bersalin mungkin mengurangkan jumlah bilirubin dalam bayi lantas mengurangkan jaundis. Ini mengurangkan keperluan fototerapi dan keperluan transfusi darah untuk bayi. Ubat ini mempunyai kesan sampingan yang perlu dinilai. Ulasan kajian mendapati tiada kajian rawak terkawal phenobarbital antenatal dalam ibu yang mengalami pengisoimunan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Faliq Adeeba Wan Ibrahim (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi faliq.adeeba@gmail.com

Tools
Information