Strontium ranelate untuk osteoporosis dalam kalangan wanita selepas menopaus

Ringkasan ulasan Cochrane ini memaparkan apa yang diketahui dari penyelidikan mengenai kesan strontium ranelate untuk osteoporosis dalam kalangan wanita selepas menopaus. Ulasan menunjukkan bahawa:
Terdapat bukti tahap perak (www.cochranemsk.org) rawatan osteoporosis dalam kalangan wanita selepas menopaus, 2 g strontium ranelate setiap hari selama 3 tahun mengurangkan keretakan dalam tulang belakang dan mengurangkan sedikit keretakan yang bukan dalam tulang belakang. Kebanyakan wanita tidak mempunyai kesan-kesan sampingan yang boleh menyebabkan mereka berhenti mengambil strontium ranelate. Walau bagaimanapun, penyelidikan lain menunjukkan kemudaratan mungkin termasuk kejadian darah beku dan sawan, hilang ingatan dan kesedaran.

Apa itu osteoporosis dan bagaimana strontium ranelate boleh membantu?

Osteoporosis ialah satu keadaan di mana berlakunya kehilangan tulang. Kehilangan tulang menjadikan tulang lemah dan rapuh yang boleh patah dengan mudah, walaupun semasa melakukan aktiviti harian. Patah (retak) tulang belakang atau bukan tulang belakang (contohnya pergelangan tangan dan pinggul) adalah jenis yang paling lazim. Terdapat banyak ubat-ubatan dan mineral yang bertindak untuk merawat osteoporosis. Strontium ranelate adalah ubat yang mengurangkan peluang keretakan dengan melambatkan kehilangan tulang dan mungkin juga dengan pembinaan tulang baru. Ianya adalah ubat yang baru, oleh itu kebaikan dan keburukannya perlu diketahui.

Apakah keputusan-keputusan ulasan ini?

Wanita-wanita dalam kajian tersebut mengambil 2 g strontium ranelate ataupun plasebo (tablet atau serbuk tiruan). Selepas 2 hingga 3 tahun, bilangan keretakan-keretakan yang berlaku dan ketumpatan mineral tulang diukur. Ketumpatan mineral tulang adalah satu ujian makmal untuk mengukur ketumpatan ataupun kekuatan tulang di pinggul, tulang belakang atau leher. Ketumpatan tulang yang lebih tinggi adalah lebih baik.

Manfaat strontium ranelate

Dalam kalangan wanita selepas menopaus yang mempunyai osteoporosis:

- strontium ranelate mengurangkan keretakan-keretakan tulang belakang:

13 dari 100 wanita yang mempunyai keretakan tulang belakang semasa mengambil strontium ranelate

21 dari 100 wanita yang mempunyai keretakan tulang belakang semasa mengambil plasebo

- strontium ranelate mungkin mengurangkan keretakan yang bukan terjadi di tulang belakang:

10 dari 100 wanita mengalami keretakan bukan di tulang belakang semasa mengambil strontium ranelate

12 dari 100 wanita mengalami keretakan bukan di tulang belakang semasa mengambil plasebo

- strontium ranelate menambah ketumpatan mineral tulang

1 dalam 3 wanita mengalami penambahan ketumpatan mineral dalam tulang belakang dan tulang pinggul semasa mengambil strontium ranelate

Kemudaratan strontium ranelate

Dalam kalangan wanita selepas menopaus yang mempunyai osteoporosis:

- strontium ranelate tidak menyebabkan kesan sampingan yang boleh membuat mereka berhenti mengambilnya

- strontium ranelate tidak menghasilkan kesan sampingan yang serius, infeksi usus, sakit belakang atau kematian

- strontium ranelate meningkatkan cirit-birit

6 dari 100 wanita mengalami cirit-birit semasa mengambil strontium ranelate

4 dari 100 wanita mengalami cirit-birit semasa mengambil plasebo

Penyelidikan lain menunjukkan kemudaratan yang boleh merangkumi kejadian darah beku, dan sawan, hilang ingatan dan kesedaran. Punca kesan vaskular dan neurologi ini tidak diketahui.

Ulasan ini mempunyai beberapa limitasi termasuk kesukaran dalam menterjemah perubahan dalam ketumpatan mineral tulang akibat aspek-aspek unik strontium dalam tulang serta susulan yang tidak lengap sesetengah pesakit dalam kajian-kajian individu.


Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my.

Tools
Information