Teknik-teknik untuk membantu pembedahan caesarean yang sukar

Pembedahan caesarean melibatkan insisi di bahagian abdomen wanita dan kemudiannya memotong melalui dinding rahim. Bayi kemudiannya dilahirkan melalui insisi ini. Banyak cara yang berbeza telah dicadangkan untuk memudahkan kelahiran bayi dalam pembedahan caesarean yang sukar dan mengurangkan risiko kecederaan kepada bayi, seperti patah tulang dan kerosakan saraf. Beberapa situasi boleh meningkatkan kemungkinan kecederaan kepada ibu dan bayi, terutamanya apabila wanita berada dalam keadaan pelahiran yang lama atau kepala bayi berada di bahagian dalam pelvis ibu.

Ulasan ini memasukkan sejumlah tujuh kajian yang melibatkan 582 wanita dan meneliti teknik yang paling selamat untuk ibu dan bayi. Risiko bias dalam kajian-kajian tersebut adalah pelbagai, sesetengah kajian tidak memerihal kaedah perawakan dengan secukupnya.

Pada pembedahan kecemasan caesarean selepas tempoh pelahiran yang panjang, terdapat bukti dari negara membangun bahawa kelahiran punggung atau kaki bayi dahulu (pengekstrakan songsang terbalik) adalah lebih selamat daripada kelahiran kepala dengan menolak dari faraj ke dalam rahim. Dalam empat kajian yang melibatkan 357 wanita, kelahiran punggung atau kaki dahulu dikaitkan dengan kurang kesan buruk bagi ibu, termasuklah kurang pendarahan, kurang jangkitan dan tempoh operasi yang lebih singkat. Tidak ada perbezaan yang ketara dalam trauma kepada bayi tetapi kemasukan ke penjagaan khas atau rawatan rapi neonatal telah menurun dengan kelahiran punggung atau kaki terlebih dahulu berbanding apabila kepala ditolak ke atas dari faraj.

Dalam pembedahan caesarean terancang tanpa pelahiran, terdapat bukti terhad untuk menyokong teknik-teknik (forsep atau pengekstrak vakum pada kepala bayi) selain penggunaan tangan pakar bedah untuk mengeluarkan kepala bayi melalui insisi rahim. Dua kajian yang melibatkan 128 wanita membandingkan forsep/vakum dengan kelahiran manual mendapati tiada perbezaan ketara dalam hasil kelahiran.

Tiada cukup bukti untuk menyokong penggunaan ubat untuk mengendurkan rahim (tocolysis) pada masa caesarean untuk membantu kelahiran bayi dengan selamat, hanya satu kajian yang melibatkan 97 wanita menangani soalan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Raymond Chieng Siang Ching (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com.

Tools
Information