Vaksin pneumokokal semasa hamil untuk mencegah jangkitan kepada bayi

Tidak ada bukti yang mencukupi untuk menilai sama ada penggunaan vaksin pneumokokal semasa kehamilan boleh mencegah jangkitan kepada bayi.

Walaupun insiden penyakit pneumokokal invasif adalah berbeza di seluruh dunia, kadar penyakit yang serius atau kematian adalah tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang mendapat jangkitan ini. Organisma Streptococcus pneumoniae (pneumokokus) menjajah saluran pernafasan atas dan boleh menyebabkan bakteremia (penyebaran bakteria dalam darah), meningitis (jangkitan selaput otak), pneumonia dan jangkitan lain kepada saluran pernafasan atas dan bawah termasuk otitis media dan jangkitan pada sinus. Jadual vaksinasi bagi bayi baru lahir iaitu tiga dos primer dengan satu dos booster boleh mengurangkan kesan penyakit pneumokokal pada kanak-kanak yang telah diberikan imunisasi, tetapi vaksin ini tidak mempunyai kesan perlindungan pada bayi yang berusia kurang daripada tiga bulan. Imunisasi pneumokokal kepada ibu semasa kehamilan boleh menjadi satu cara untuk mencegah penyakit pneumokokal untuk bayi semasa bulan pertama kehidupan. Kami meneliti tujuh kajian terkawal rawak. Seramai 919 wanita hamil mengambil bahagian dalam enam kajian terkawal rawak yang telah menyumbangkan data kepada rumusan ini. Kajian membandingkan vaksin polisakarida pneumokokal 23-valen dengan vaksin kawalan. Semua wanita telah menerima suntikan tunggal vaksin pneumokokal atau vaksin kawalan (di mana digunakan). Purata peringkat kehamilan wanita berkenaan pada masa imunisasi adalah antara 27 dan 38 minggu, seperti dinyatakan. Hanya dua kajian dengan 241 kehamilan melaporkan jangkitan neonatal (bayi baru lahir). Maklumat ini tidak cukup untuk mengatakan sama ada vaksin pneumokokal semasa kehamilan mengakibatkan kurang jangkitan kepada bayi baru lahir. Dua kajian dengan 146 kehamilan melaporkan discaj daripada hidung bayi yang mengandungi pneumococci (penjajahan pneumokokal), dimana tidak ada bukti yang cukup untuk menunjukkan kesan mengurangkan penjajahan pneumokokal pada usia bayi dua hingga tiga bulan atau enam hingga tujuh bulan. Kajian yang diteliti didapati berkualiti yang berpatutan. Tidak terdapat perbezaan kesakitan di tempat suntikan antara vaksin pneumokokal dan vaksin kawalan. Tiada kesan buruk yang serius dilaporkan dalam kajian berkenaan

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College)). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my. Disunting oleh Dr Azlan Husin (Universiti Sains Malaysia)

Tools
Information