Vaksin bagi mencegah influenza dalam kalangan kanak-kanak sihat

Matlamat kajian

Matlamat penilaian Cochrane ini, diterbitkan kali pertama pada tahun 2007, ialah untuk merumuskan kajian pemberian imunisasi kepada kanak-kanak sihat sehingga ke umur 16 tahun dengan vaksin influenza semasa musim influenza. Kami mengambilkira kajian rawak yang membandingkan sama ada satu daripada dua jenis vaksin, dengan vaksin kosong atau dengan tiada vaksin langsung. Salah satu jenis vaksin ialah yang berasaskan virus hidup yang dilemahkan (contohnya: live attenuated influenza vaccines) dan ia diberikan melalui hidung. Satu jenis vaksin lagi disediakan secara mematikan virus influenza dengan bahan kimia (virus tidak aktif) dan diberikan secara suntikan melalui kulit. Kami menganalisa bilangan kanak-kanak yang disahkan mengalami influenza dan kanak-kanak yang menghadapi penyakit seakan influenza (influenza-like ilness) seperti sakit kepala, demam, batuk dan sakit otot; serta bahaya akibat vaksinasi Kemaskini di masa depan ulasan ini hanya akan dibuat setelah ada kajian baharu atau vaksin baharu yang wujud. Data daripada 33 kajian pengamatan yang dimasukkan dalam liputan terdahulu masih dikekalkan atas tujuan sejarah/rujukan tetapi belum dikemaskini kerana ianya tidak mempengaruhi kesimpulan yang bakal dibuat daripada kajian ini.

Mesej utama

Penggunaan vaksin berasaskan virus hidup yang dilemahkan atau virus yang tidak aktif boleh mengurangkan kadar jangkitan influenza dan penyakit semacam influenza dalam kalangan kanak-kanak. Variasi dalam dapatan kajian ini bermakna kami tidak dapat memastikan kesan vaksin ini untuk musim-musim yang berlainan.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Lebih 200 jenis virus menyebabkan penyakit seperti influenza dan menghasilkan gejala yang sama (demam, sakit kepala, lenguh, sakit, batuk dan hidung berair) seperti influenza. Para doktor tidak dapat membezakan antara keduanya tanpa ujian makmal kerana keduanya berakhir dalam tempoh yang singkat dan jarang menyebabkan penyakit serius atau kematian.

Jenis virus yang digunakan dalam vaksin adalah jenis virus yang dijangka menyebabkan jangkitan ketika influenza bermusim, berdasarkan saranan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (vaksin bermusim). Vaksin pandemik mengandungi hanya jenis virus spesifik yang bertanggungjawab ketika pendemik tertentu sahaja (contohnya jenis A H1N1 untuk pandemik tahun 2009 dan 2010).

Keputusan utama

Kami menemukan 41 kajian rawak. Kebanyakan kajian memasukkan kanak-kanak berumur lebih dua tahun dan dijalankan di USA, Eropah Barat, Rusia dan Bangladesh)

Dibandingkan dengan plasebo atau tiada apa-apa vaksin, vaksin daripada virus hidup yang dilemahkan mengurangkan kadar kanak-kanak yang disahkan influenza daripada 18% ke 4% (bukti berkekuatan sederhana), dan boleh mengurangkan penyakit semacam influenza daripada 17% ke 12% (bukti berkekuatan rendah). Tujuh kanak-kanak perlu divaksinkan untuk mengelakkan seorang kanak-kanak daripada mendapat influenza, dan 20 perlu divaksinkan untuk mengelakkan seoarng kanak-kanak mendapat penyakit semacam influenza. Kami mendapati data daripada satu kajian menunjukkan risiko untuk mendapat jangkitan telinga bagi kedua-dua kumpulan adalah pada kadar yang sama. Maklumat yang sedia ada tidak cukup untuk menilai ketidakhadiran ke sekolah dan keperluan ibubapa mengambil cuti untuk menguruskan hal kanak-kanak yang terlibat. Kami mendapati tiada data berkaitan kemasukan ke hospital, dan kesan sampingan juga tidak dilaporkan secara konsisten.

Berbanding dengan plasebo atau tanpa vaksin, vaksin berasaskan virus tidak aktif dapat mengurangkan risiko influenza dari 30% ke 11% (bukti berkekuatan tinggi), dan ia mungkin mengurangkan penyakit semacam influenza dari 28% ke 20% (bukti berkekuatan sederhana). Lima kanak-kanak perlu divaksinkan untuk mengelakkan seorang kanak-kanak mendapat influenza, dan 12 kanak-kanak perlu divaksinkan untuk mengelakkan seorang mendapat penyakit semacam influenza. Risiko jangkitan otitis media mungkin sama antara kanak-kanak yang divaksinkan dan yang tidak divaksinkan (31% berbanding 27%, bukti kekuatan sederhana). Maklumat yang sedia ada tidak cukup untuk menilai ketidakhadiran ke sekolah kerana salah satu darpada kajian mempunyai bukti berkekuatan rendah. Kami mendapati tiada data berkenaan kehilangan masa waktu bekerja oleh ibubapa; kemasukan pesakit ke hospital, demam atau loya.

Satu jenama vaksin monovalen pandemik dikaitkan dengan kesan sampingan hilang kekuatan otot secara mendadak setelah dicetuskan oleh emosi yang teruk (cataplexy) dan masalah gangguan tidur (narcolepsy) dalam kalangan kanak-kanak.

Hanya sedikit kajian yang dirancang dan dijalankan secara teliti dan kesan kajian-kajian ini mempunyai risiko bias yang tinggi ke atas kesan akhir yang ingin dinilai. Hanya kesan vaksin ke atas influenza dan otitis media sahaja yang kami yakini tidak dipengaruhi oleh bias.

Sejauh mana status penilaian ini terkini?

Bukti ini adalah bersifat semasa sehingga 31 Disember 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Irfan bin Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi irfankb@usm.my. Disunting oleh Azlan Husin (Universiti Sains Malaysia)

Tools
Information