Kesan dan keselamatan suplemen zat besi atau zat besi dan asid folik pencegahan secara oral untuk wanita mengandung

Ketika mengandung, wanita memerlukan zat besi dan folat untuk memenuhi keperluan diri sendiri dan perkembangan bayi. Adalah membimbangkan sekiranya wanita hamil kekurangan nutrien ini mereka tidak dapat membekalkan nutrien ini dalam kuantiti yang secukupnya untuk bayi mereka. Paras folat yang rendah sebelum kehamilan meningkatkan risiko kecacatan tiub neural pada bayi. Paras zat besi dan folat yang rendah pada wanita boleh menyebabkan anemia yang mana wanita menjadi letih, lemah, dan meningkatkan risiko jangkitan.

Kami memasukkan 61 kajian rawak dalam sorotan dengan 44 kajian melibatkan 43,274 wanita hamil dalam analisis. Penggunaan zat besi atau zat besi dan suplemen asid folik menurunkan risiko anemia dan kekurangan zat besi semasa mengandung. Terdapat beberapa indikasi bahawa suplemen zat besi ibu semasa mengandung akan menambahbaik kesan kepada anak (berat badan dan kelahiran pramatang) tetapi buktinya tidak berkualiti tinggi. Tidak ada bukti bahawa suplemen zat besi akan meningkatkan jangkitan malaria melalui plasenta.

Kesimpulan Pengarang: 

Suplemen harian zat besi pranatal adalah berkesan untuk mengurangkan risiko kurang berat badan semasa kelahiran, dan untuk mencegah anemia pada ibu dan kekurangan zat besi semasa kehamilan. Kesan sampingan ke atas ibu dan paras Hb yang tinggi semasa mengandung pada dos kini mencadangkan keperluan untuk mengemas kini dos dan rejimen bagi suplemen zat besi.

Baca abstrak penuh ...
Latar Belakang: 

Zat besi dan suplemen asid folik adalah intervensi pilihan bagi meningkatkan simpanan zat besi dan mengelakkan anemia dalam kalangan wanita hamil, dan ia juga boleh memulihkan kesihatan ibu dan anak.

Matlamat: 

Untuk menilai kesan suplemen harian zat besi secara oral bagi wanita hamil, sama ada bersendirian atau bersama dengan asid folik, atau dengan vitamin dan mineral lain sebagai intervensi kesihatan awam.

Kaedah Pencarian: 

Kami mengamati Cochrane Pregnancy and Childbirth Group's Trials Register (2 Julai 2012). Kami juga mengamati WHO International Clinical Trials Registry Platform (ICTRP) (2 Julai 2012) dan menghubungi organisasi yang berkaitan untuk mengenal pasti kajian yang sedang dijalankan dan yang tidak diterbitkan.

Kriteria pemilihan: 

Kajian rawak atau kuasi-rawak menilai kesan suplemen harian zat besi, zat besi dan asid folik atau zat besi dan vitamin lain dan mineral pencegahan secara oral semasa kehamilan.

Pengumpulan Data dan Analisis: 

Kami menilai kualiti metodologi kajian menggunakan kriteria standard Cochrane. Dua penulis menilai kelayakan kajian, mengekstrak dan memeriksa ketepatan data secara berasingan.

Keputusan Utama: 

Kami memasukkan 60 kajian. Empat puluh tiga kajian melibatkan lebih 27,402 wanita menyumbang kepada data dan membandingkan kesan suplemen harian zat besi berbanding tiada zat besi atau plasebo secara oral.

Secara keseluruhan, wanita yang mengambil suplemen zat besi kurang berkemungkinan untuk mempunyai bayi kurang berat badan semasa kelahiran (kurang 2500 g) berbanding dengan kawalan (8.4% berbanding 10.2%, nisbah risiko purata (RR) 0.81; 95% julat (CI) 0.68-0.97, 11 kajian , 8480 wanita) dan purata berat kelahiran adalah 30.81 g lebih besar bagi bayi yang ibunya menerima zat besi semasa hamil (purata perbezaan (MD) 30.81; 95% CI 5.94-55.68, 14 kajian, 9385 wanita). Suplemen zat besi pencegahan mengurangkan risiko anemia ibu semasa kelahiran sebanyak 70% (RR 0.30; 95% CI 0.19-0.46, 14 kajian, 2199 wanita) dan kekurangan zat besi semasa kelahiran sebanyak 57% (RR 0.43; 95% CI .,27-0.66, tujuh kajian, 1256 wanita). Walau pun perbezaan di antara kumpulan tidak mencapai kepentingan statistik, wanita yang menerima suplemen zat besi lebih cenderung melaporkan kesan sampingan (25.3% berbanding 9.91%) (RR 2.36; 95% CI 0.96-5.82, 11 kajian, 4418 wanita) daripada kawalan, terutamanya pada dos unsur zat besi 60 mg atau lebih tinggi. Secara purata, wanita yang mengambil zat besi lebih cenderung mempunyai paras hemoglobin (Hb) yang lebih tinggi semasa dan selepas kelahiran tetapi berisiko untuk mempunyai paras Hb lebih tinggi daripada 130g / L semasa mengandung dan kelahiran. Dua puluh tiga kajian pada tahun 2011 mempunyai risiko malaria di beberapa kawasan yang dijalankan di negara-negara tersebut. Di sesetengah negara / wilayah ini, malaria hanya hadir di kawasan tertentu atau sehingga ketinggian tertentu sahaja. Hanya dua kajian melaporkan malaria. Tidak ada bukti bahawa suplemen zat besi meningkatkan jangkitan malaria melalui plasenta. Kepelbagaian bagi sesetengah hasil kajian adalah lebih tinggi daripada 50%.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming (School of Medicine, Taylor's University, Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi hayatikk@usm.my.

Tools
Information