Rawatan penyakit periodontium untuk kawalan glisemik dalam kalangan orang yang mengidap diabetes melitus

Soalan ulasan

Soalan utama yang diaju dalam ulasan ini: Betapa berkesannya rawatan penyakit gusi untuk mengawal paras gula dalam darah (kawalan glisemik) dalam kalangan pesakit diabetes berbanding dengan tiada rawatan aktif atau rawatan biasa?

Latarbelakang

Rawatan penyakit gusi dibuat untuk mengurangkan bengkak dan jangkitan dari penyakit gusi.Mengawal paras gula dalam darah adalah isu utama bagi pesakit diabetes, dan sesetengah penyelidikan klinikal mencadangkan wujudnya hubungkait di antara penyakit gusi dengan kawalan glisemik.Oleh itu adalah penting untuk menyiasat sama ada rawatan penyakit gusi dapat membantu kawalan glisemik bagi menggalakkan penggunaan sumber klinikal dengan lebih baik.

Terdapat pelbagai rawatan penyakit gusi bagi merawat pesakit diabetes. Ulasan ini mengambilkira dua jenis:

1. Adakah rawatan penyakit gusi meningkatkan kawalan paras gula dalam darah?
2. Adakah rawatan penyakit gusi tertentu mempunyai kesan yang lebih besar dari yang lain dalam meningkatkan kawalan paras gula dalam darah?

Ciri kajian

Ulasan kajian klinikal sedia ada telah dijalankan oleh penulis yang bekerja dengan Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane dan mengemaskini versi yang lalu terbitan 2010. Bukti ini adalah terkini sehingga 31 Disember 2014.

Di dalam ulasan ini, terdapat 35 kajian (melibatkan 2565 peserta) yang terbit antara 1997 dan 2014, di mana peserta menerima secara rawak sejenis rawatan penyakit gusi (termasuk penskaleran dan pengetaman akar (PPA) dan PPA bergabung dengan jenis rawatan lain), atau penjagaan biasa/tiada rawatan aktif.

Kajian yang termasuk dalam ulasan ini menggunakan PPA dengan rawatan tambahan atau tanpa rawatan tambahan.Rawatan tambahan termasuk arahan membersih gigi yang sesuai (juga dipanggil arahan higin oral (AHO)), dan rawatan gusi lain (misalnya ubat antimikrob yang diguna untuk merawat jangkitan).

Keputusan utama

Kami mendapati 35 kajian yang sesuai untuk dimasukkan dalam ulasan ini. Tiga-puluh empat dari kajian tersebut menghasilkan keputusan yang boleh dimasukkan dalam sekurang-kurangnya satu di antara dua perbandingan.

1. Bukti daripada 14 kajian (1499 peserta) menunjukkan PPA mengurangkan paras gula dalam darah pesakit diabetes sebanyak 0.29% sehingga 4 bulan selepas menerima rawatan berbanding dengan penjagaan biasa/tiada rawatan aktif.Selepas 6 bulan, tiada bukti pengurangan ini dialami.

2. Bukti daripada 21 kajian (920 peserta) yang menyiasat pelbagai jenis rawatan penyakit gusi gagal menunjukkan bahawa rawatan tertentu adalah lebih baik dari yang lain. 

Tiada cukup kajian yang mengukur kesan sampingan dapat menunjukkan rawatan penyakit gusi menyebabkan sebarang bahaya. 

Kualiti bukti

Buat masa kini terdapat bukti berkualiti rendah untuk menyokong penskaleran dan pengetaman akar bagi mengawal paras gula dalam darah sehingga 4 bulan selepas menerima rawatan. Rawatan penyakit gusi berterusan adalah dinasihatkan untuk mengekalkan pengawalan paras gula dalam darah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Lai Nai Ming, (School of Medicine, Taylor's University, Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save