Pertukaran darah volum tunggal berbanding volum berganda bagi bayi baru lahir yang mengalami jaundis

Paras bilirubin yang amat tinggi (jaundis teruk) boleh menyebabkan kecederaan otak. Jaundis teruk dalam bayi baru lahir boleh berlaku akibat pelbagai sebab termasuk penyakit hemolitik rhesus, ketidakserasian ABO, antibodi atipikal, dll. Pengeluaran darah dari bayi yang terjejas dan penggantian dengan darah segar dari tabung darah (pertukaran darah) digunakan sebagai rawatan untuk jaundis yang teruk bagi bayi baru lahir. Darah bayi yang terlibat dikeluarkan dalam bahagian yang kecil dan volum darah yang sama digantikan semasa pertukaran darah. Secara tradisi, volum darah yang dikeluarkan adalah dua kali ganda volum darah bayi dan digantikan dengan darah segar. Pertukaran darah telah didapati boleh mengurangkan kecederaan otak dalam bayi dengan jaundis teruk; tetapi, ianya dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa buruk yang serius termasuk kematian. Komplikasi pertukaran darah berkemungkinan meningkat dengan jumlah darah yang ditukarkan. Kajian semula ini dijalankan untuk memeriksa sama ada pertukaran darah volum tunggal (pengeluaran darah bersamaan dengan volum darah bayi) mempunyai kesan yang sama dengan pertukaran darah volum berganda (pengeluaran darah bersamaan dua kali ganda volum darah bayi) dalam mengurangkan kerosakan otak dan paras bilirubin dalam bayi baru lahir yang mengalami jaundis teruk. Hanya satu kajian rawak yang memenuhi kriteria untuk dimasukkan dalam analisis. Kajian ini membandingkan pertukaran darah volum tunggal dan volum berganda bagi jaundis akibat jaundis hemolitik ABO. Kajian ini mendapati tiada perbezaan signifikan bagi paras bilirubin selepas pertukaran. Kajian ini tidak meneliti kesan perkembangan otak (neurodevelopment) jangka masa panjang (kecederaan otak). Berdasarkan data yang sedia ada, tiada bukti yang mencukupi untuk menyokong atau menolak kegunaan pertukaran darah volum tunggal berbanding volum berganda dalam bayi baru lahir yang mengalami jaundis.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my. Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College; mltan@pmc.edu.my).

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan