Program pendidikan berasaskan sekolah untuk pencegahan gangguan seksual kanak-kanak

Latar belakang dan soalan ulasan

Program pendidikan berasaskan sekolah bagi pencegahan penderaan gangguan seksual kanak-kanak telah dilaksanakan pada skala yang besar oleh beberapa negara. Kami telah mengkaji bukti keberkesanan program-program ini dalam beberapa skop berikut: (i) kemahiran kanak-kanak dalam tingkah-laku perlindungan; (ii) pengetahuan kanak-kanak dalam konsep-konsep pencegahan penderaan gangguan seksual kanak-kanak; (iii) kemampuan kanak-kanak mengekalkan tingkah-laku perlindungan dari semasa ke semasa; (iv) kemampuan kanak-kanak mengekalkan pengetahuan dari semasa ke semasa (v) kebimbangan atau kerisauan ibu-bapa atau kanak-kanak akibat penyertaan dalam program; dan (vi) pendedahan semasa program atau selepas program mengenai penderaan gangguan seksual kanak-kanak yang telah berlaku atau yang sedang berlaku. Bukti ini adalah terkini sehingga September 2014.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini melibatkan 24 kajian, dijalankan pada sejumlah 5802 orang peserta sekolah rendah dan sekolah menengah di Amerika Syarikat, Kanada, China, Jerman, Sepanyol, Taiwan, dan Turki. Julat jangkamasa intervensi-intervensi ini adalah daripada sesi tunggal 45-minit kepada 8 sesi 20-minit pada hari berturut-turut. Walaupun julat program adalah besar, masih terdapat banyak persamaan termasuklah pengajaran mengenai peraturan keselamatan, pemilikan badan, bahagian sulit badan, membezakan jenis-jenis sentuhan dan jenis-jenis rahsia, dan kepada siapa untuk didedahkan mengenai penderaan gangguan seksual ini. Format penyampaian program adalah termasuk filem, video, cakera digital serba boleh (DVD), lakonan teater, dan persembahan multimedia. Sumber-sumber lain yang digunakan termasuk lagu-lagu, mainan boneka, komik-komik dan buku-buku mewarna. Kaedah-kaedah pengajaran yang digunakan dalam penyampaian adalah latihan, amalan, main peranan, perbincangan, dan maklum balas.

Keputusan-keputusan utama

Ulasan ini menemui bukti bahawa program pencegahan penderaan gangguan seksual berasaskan sekolah adalah berkesan bagi meningkatkan kemahiran peserta dalam tingkah laku perlindungan dan meningkatkan pengetahuan dalam konsep pencegahan penderaan gangguan seksual (diukur melalui soal selidik atau vignet). Mata pengetahuan (diukur melalui soal-selidik) tidak terhakis dengan ketara dalam masa satu hingga enam bulan selepas intervensi sama ada untuk kumpulan intervensi atau kumpulan kawalan. Dari segi bahaya, tiada bukti bahawa program meningkatkan atau menurunkan kebimbangan atau ketakutan kanak-kanak. Tiada kajian mengukur kebimbangan atau ketakutan ibu bapa. Kanak-kanak yang didedahkan kepada program pencegahan penderaan gangguan seksual mempunyai kemungkinan yang lebih tinggi untuk mendedahkan penderaan terhadap mereka berbanding kanak-kanak yang belum didedahkan kepada program, tetapi kami lebih kepada belum pasti mengenai kesan ini setelah melaraskan analisis dengan mengambil kira kumpulan peserta dalam kelas atau sekolah. Faedah jangka panjang program dari aspek penurunan kejadian atau kelaziman (atau kedua-duanya) penderaan gangguan seksual kanak-kanak pada peserta-peserta program belum diukur secukupnya oleh kajian-kajian.

Kualiti bukti

Kualiti bukti bagi semua keputusan yang dimasukkan ke dalam meta analisis (penggabungan data) adalah sederhana. Kualiti kajian telah dikompromi dalam kira kira separuh daripada kajian-kajian yang terlibat disebabkan oleh kaedah pengumpulan data secara sub-optima bagi keputusan kajian dan data analisis yang tidak bersesuaian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fairuz Fadzilah binti Rahim, (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fairuzfr@yahoo.com.

Tools
Information