Adakah insentif boleh membantu perokok untuk berhenti dalam jangkamasa sederhana ke panjang?

Latarbelakang:

Insentif, biasanya seperti wang tunai atau baucar, digunakan secara meluas untuk menggalakkan perokok agar cuba berhenti dan ganjaran akan diberikan kepada mereka yang berjaya. Skim ini boleh dijalankan di tempat kerja, klinik dan juga sebagai program komuniti. Kajian dalam kalangan wanita hamil juga telah dimasukkan untuk kemaskini semakan ketiga kami. Perubahan lain ialah kami pisahkan ujian yang menggunakan insentif daripada ujian persaingan; kami akan bincangkan ujian persaingan dalam kemaskini yang berasingan.

Ciri-ciri kajian:

Ujian pelbagai populasi: Kami menjumpai 21 ujian, meliputi lebih daripada 8400 orang, yang melihat skim insentif yang berbeza untuk membantu perokok untuk cuba berhenti. Carian terbaru kami ialah pada bulan Disember 2014, sungguhpun begitu, kami telah sertakan juga dua ujian yang diterbitkan selepas dari tarikh tersebut. Sepuluh daripada kajian telah ditetapkan di klinik atau pusat kesihatan, satu dalam kampung di Thailand yang dijalankan oleh pekerja kesihatan masyarakat, dua di pusat penyelidikan dan selebihnya di tapak kerja. Hanya enam dari kesemua ujian telah dijalankan di Amerika Syarikat. Kesemua ujian membuat susulan kepada peserta mereka sekurang-kurangnya enam bulan dan diperiksa samada berjaya berhenti merokok atau tidak dengan menguji nafas atau cecair badan mereka. Insentif termasuk tiket loteri, hadiah cabutan, bayaran tunai, baucar untuk barangan dan barangan runcit, dan wang yang dideposit dipulangkan kepada mereka yang mengambil bahagian dalam enam ujian tersebut.

Ujian kehamilan: Kami dapati sembilan ujian, lapan di Amerika Syarikat dan satu di UK, yang meliputi hampir 1600 wanita yang cuba untuk berhenti merokok semasa mengandung. Ganjaran merupakan baucar barangan atau barangan runcit dan kadang kala nilainya meningkat bergantung kepada lama masa wanita tersebut berjaya kekal berhenti.

Keputusan utama:
Ujian pelbagai populasi : Mereka yang menerima insentif selama enam bulan atau lebih selepas bermulanya ujian lebih cenderung untuk berhenti berbanding daripada mereka yang berada dalam kumpulan kawalan. Hanya tiga ujian yang melaporkan kejayaan yang berpanjangan walaupun setelah tamat program. Satu ujian di Amerika Syarikat, membayar mereka yang berhenti sehingga USD 750, menunjukkan hampir tiga kali lebih ramai yang berhenti merokok dalam kumpulan eksperimen berbanding kumpulan kawalan. Satu lagi ujian di Amerika Syarikat yang membayar sehingga USD 800 kepada setiap orang yg berhenti mendapati hampir dua kali lebih ramai yang menerima bayaran berhenti merokok berbanding dengan kumpulan kawalan. Ujian ini juga membandingkan di antara bayaran ganjaran dengan kembalikan wang peserta jika mereka berjaya berhenti. Walaupun dalam ujian ini lebih ramai yang mengambil bahagian dalam program ganjaran berbanding program deposit tetapi mereka yang berhenti dalam setiap kumpulan lebih menggemari program deposit bayaran balik. Ujian ketiga dilakukan di Thailand dan ganjaran kepada mereka yang berhenti dengan mengembalikan wang mereka beserta dengan bonus. Walaupun jangkamasa sederhana untuk berhenti adalah menggalakkan, program bayaran balik deposit secara umumnya bergelut untuk menyamai program ganjaran yang ramai bersedia untuk mengambil bahagian.

Ujian kehamilan: Lapan daripada sembilan ujian dari data yang digunakan mendapati wanita dalam kumpulan insentif lebih cenderung untuk berhenti berbanding mereka dalam kumpulan kawalan, kedua-duanya di tahap akhir kehamilan dan pada rawatan susulan paling lama (sehingga 24 minggu selepas kelahiran). Empat ujian mengesahkan bahawa bayaran sebagai ganjaran untuk usaha yang berjaya berhenti ('Pembayaran kontijen'), berbanding dengan bayaran tetap untuk menghadiri temujanji antenatal ('Tanpa kontinjen'), menghasilkan kadar berhenti lebih tinggi. Ujian terbesar dilakukan di UK, menggunakan khidmat berhenti merokok NHS bagi memberi sokongan untuk berhenti mendapati kadar berhenti bagi kumpulan insentif adalah hampir empat kali ganda sebagaimana dalam kumpulan kawalan. Satu ujian di mana bayaran purata bagi menghadapi cabaran gejala berhenti yang lebih besar dalam dua minggu pertama berhenti menunjukkan sedikit perbezaan kepada peluang wanita untuk berjaya.

Kualiti bukti:

Penilaian kami terhadap kualiti keseluruhan kajian pelbagai populasi yang terdahulu adalah rendah namun ianya lebih baik dengan ujian terkini (2000 ke atas) yang dilakukan dan dilaporkan sepenuhnya. Ujian awal dikeluarkan dari pengiraan menjadikan perbezaan yang sangat sedikit bagi keputusan di enam bulan susulan, tetapi memberikan kelebihan bagi insentif pada 12 bulan susulan. Kesemua ujian kehamilan telah diterbitkan dalam tempoh 15 tahun yang lalu dan secara umumnya berkualiti sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Normi Mustapha. Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi normi_sbb@yahoo.com.sg

Tools
Information
Share/Save