Teknik untuk mengendali kerosakan gigi

Kerosakan gigi (karies gigi) adalah masalah yang lazim di seluruh dunia. Ia melibatkan kos untuk dirawat dan boleh menyebabkan jangkitan, sakit dan kehilangan gigi. Kerosakan gigi boleh dikawal dengan kaedah 'bukan-operatif' yang melibatkan pembersihan plak gigi dengan teliti, nasihat diet yang sihat dan penggunaan fluorida untuk mencegah kerosakan lebih teruk. Jika proses kerosakan berlarutan teknik 'bukan operatif' ini mungkin perlu digabung dengan pengendalian 'operatif' yang melibatkan tampalan dan restorasi gigi yang berlubang akibat kerosakan yang menghalang daripada dicuci. Tampalan akan memperbaiki rupa bentuk gigi dan membolehkan pesakit membersihkannya. 

Secara tradisi, doktor gigi akan membersihkan kerosakan dengan alat gerudi pergigian sebelum bahan tampalan diletakkan. Walau bagaimanapun, pembuangan bahagian gigi yang rosak mempunyai beberapa keburukan termasuk kerosakan saraf gigi, sakit gigi dan mungkin juga melemahkan struktur gigi. Kaedah ini dipanggil pembuangan karies sempurna dalam satu langkah. 

Walaupun banyak tampalan dan restorasi dibuat di seluruh dunia setiap hari, doktor gigi masih tidak pasti strategi 'pengendalian operatif' terbaik untuk kerosakan gigi. Ulasan yang dibuat oleh penyelidik-penyelidik Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane ini bertujuan menilai cara yang paling berkesan untuk merawat dan mengendali kerosakan gigi (karies gigi) apabila kaedah operatif diguna dalam gigi susu dan gigi kekal.

Carian terkini untuk kajian-kajian yang relevan bagi ulasan ini dibuat pada 12hb Disember 2012. Lapan kajian dengan 934 pesakit (1372 gigi) dimasukkan.

Tiga intervensi pengendalian karies alternatif dinilai dengan membandingkan rawatan tradisional membuang semua kerosakan gigi dalam satu langkah (pembuangan karies sempurna) Intervensi tersebut adalah

- Ekskavasi berperingkat - teknik membuang karies berperingkat dalam dua lawatan selang beberapa bulan, membolehkan pulpa gigi sembuh dan membentuk lapisan dentin.
- Pembuangan karies separa - doktor gigi membuang sebahagian dentin berkaries dan memengap dengan kekal selebihnya dentin berkaries dalam gigi.
- Tiada pembuangan dentin berkaries - tiada dentin berkaries dibuang sebelum memengap atau merestorasi.

Apabila teknik pembuangan karies sempurna dibanding dengan ekskavasi berperingkat, 347 dari setiap 1000 pulpa atau saraf gigi mungkin terdedah dengan teknik pembuangan karies sempurna sedangkan bagi penggunaan teknik ekskavasi berperingkat, pendedahan hanya berlaku kepada 154 dari 1000 gigi. 

Apabila teknik pembuangan karies separa diguna, didapati 50 daripada 1000 pulpa atau saraf gigi mungkin terdedah. Walau bagaimanapun, apabila teknik pembuangan karies sempurna diguna, angka ini mungkin berubah menjadi 219 setiap 1000 gigi yang dirawat.

Terdapat kurang kerosakan apabila sebahagian atau semua kerosakan ditinggalkan bagi gigi susu dan gigi kekal. Tiada perbezaan bilangan gigi yang sakit dengan sebarang teknik-teknik tersebut. Salah satu teknik tanpa pembuangan karies memerlukan kurang penggantian tampalan, walaupun tiada sebarang perbezaan didapati apabila membandingkan teknik-teknik lain untuk melengkapkan pembuangan karies

Dalam kajian-kajian tersebut, kebanyakan tampalan diletakkan oleh doktor pakar pergigian dan gigi-gigi tersebut dipantau dengan singkat (1 tahun) Lebih banyak mkajian diperlukan untuk membantu menjawab soalan lanjutan. Sebilangan kecil kajian mungkin boleh dibuat oleh doktor gigi yang bukan pakar untuk menentukan sama ada keputusan adalah sama. Kajian-kajian ini sepatutnya menyusul pesakit untuk jangkamasa lebih lama untuk menentukan jika ada sebarang perbezaan sakit gigi, kerosakan lanjutan dan penggantian tampalan. Ia juga patut menentukan teknik yang dipilih oleh pesakit dan jika ada perbezaan kos dalam jangkamasa panjang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan