Diet, aktiviti fizikal atau kedua-duanya untuk pencegahan atau penangguhan diabetis melitus jenis 2 dan komplikasi yang berkaitannya dalam kalangan orang yang berisiko untuk mendapat diabetes melitus jenis 2

Soalan ulasan

Adakah diet atau aktiviti fizikal, atau kedua-duanya dapat mencegah atau melambatkan pembentukan diabetes jenis 2 dan komplikasi yang berkaitan dalam kalangan orang yang berisiko?

Latar belakang

Orang yang mempunyai glukosa darah yang agak tinggi (sering disebut sebagai 'pra-diabetes') dikatakan mengalami peningkatan risiko mendapat diabetes jenis 2. Pada masa kini disyorkan bahawa semua orang yang lebih berisiko diabetes jenis 2 harus menyesuaikan tabiat makan mereka dan tahap aktiviti fizikal. Kami ingin mengetahui sama ada perubahan diet, aktiviti fizikal atau kedua-dua dapat mencegah atau melewatkan diabetes jenis 2 dalam kalangan orang lebih berisiko. Kami juga ingin tahu kesan hasil pesakit yang penting seperti komplikasi diabetes (seperti penyakit buah pinggang dan penyakit mata, serangan jantung, angin ahmar), kematian dari sebarang punca, kualiti hidup yang berkait dengan kesihatan (ukuran kepuasan seseorang terhadap kehidupan dan kesihatan mereka) dan kesan sampingan.

Ciri-ciri kajian

Peserta perlu mempunyai paras glukosa darah yang lebih tinggi daripada normal, tetapi di bawah paras glukosa yang digunakan untuk mendiagnos diabetes melitus jenis 2. Kami mendapati 12 kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana peserta-peserta diletakkan secara rawak dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan 5238 peserta. Tempoh rawatan berbeza dari dua tahun hingga enam tahun. Kebanyakan kajian memasukkan orang yang ditakrifkan sebagai lebih berisiko diabetes jenis 2 berdasarkan paras glukosa yang diukur dua jam selepas pengingesan 75 g glukosa (iaitu 'tolerans glukosa terganggu' (IGT) selepas ujian tolerans glukosa oral).

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2017. Kami menggunakan perkhidmatan amaran e-mel MEDLINE untuk mengenal pasti kajian yang baru diterbitkan sehingga September 2017.

Keputusan utama

Satu kajian membandingkan diet sahaja dengan aktiviti fizikal sahaja. Lima puluh tujuh daripada 130 peserta (44%) dalam kumpulan diet sahaja berbanding 58 daripada 141 peserta (41%) dalam kumpulan aktiviti fizikal sahaja mengalami diabetes jenis 2. Dua kajian membandingkan aktiviti fizikal dengan rawatan piawai; dalam satu kajian 58 daripada 141 peserta (41%) dalam kumpulan aktiviti fizikal berbanding 90 daripada 133 peserta (68%) dalam kumpulan kawalan mendapat diabetes jenis 2; dalam kajian satu lagi, 10 daripada 84 peserta (12%) dalam kumpulan aktiviti fizikal berbanding tujuh daripada 39 peserta (18%) dalam kumpulan kawalan mendapat diabetes jenis 2. Sebelas kajian membandingkan diet dan aktiviti fizikal dengan rawatan piawai atau tanpa rawatan. Diet dan aktiviti fizikal mengurangkan risiko mendapat diabetes jenis 2, yang berlaku dalam 315 orang daripada 2122 peserta (15%) dalam kumpulan diet dan aktiviti fizikal berbanding 614 daripada 2389 peserta (26%) dalam kumpulan rawatan piawai.

Kami tidak mengesan kelebihan atau kekurangan diet, aktiviti fizikal atau kedua-duanya berkaitan dengan serangan jantung atau strok. Kajian-kajian yang dimasukkan tidak melaporkan komplikasi diabetes seperti penyakit buah pinggang atau penyakit mata. Kesan terhadap kualiti kesihatan yang berkaitan dengan kesihatan adalah tidak muktamad. Sangat sedikit peserta yang meninggal di sepanjang kajian dan kesan sampingan juga jarang berlaku. Kajian jangka panjang harus menyiasat lebih banyak hasil pesakit yang penting seperti komplikasi diabetes, kerana kami tidak pasti sama ada 'pra-diabetes' hanyalah satu syarat yang sewenang-wenangnya ditentukan oleh ukuran makmal atau ia faktor risiko sebenar untuk diabetes melitus jenis 2 dan sama ada rawatan untuk keadaan ini diterjemahkan ke dalam hasil pesakit yang lebih baik.

Kualiti bukti

Semua kajian yang dimasukkan mempunyai kekurangan dalam cara kajian dilaksanakan atau bagaimana item utama dilaporkan. Untuk diet dan aktiviti fizikal berbanding dengan rawatan piawai, kami mendapati bukti yang agak baik bahawa perkembangan diabetes jenis 2 baru dikurangkan atau ditangguhkan. Bagi perbandingan lain yang mana jumlah peserta adalah kecil, ia mengakibatkan risiko ralat rawak yang tinggi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (International Medical University). Dikemaskini oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information