Penggunaan vitamin E dalam rawatan gangguan kognitif ringan dan Penyakit Alzheimer (AD)

Latar belakang

Vitamin E boleh didapati dalam pelbagai jenis makanan, termasuk minyak sayur-sayuran dan lemak, kacang dan biji benih. Beberapa kajian haiwan dan kajian tidak berintervensi telah mencadangkan bahawa Vitamin E mungkin mempunyai peranan dalam pencegahan atau rawatan Penyakit Alzheimer (AD). Walau bagaimanapun, terdapat bukti yang mengaitkan vitamin E dengan kesan sampingan yang berpotensi menjadi sangat serius dan juga meningkatkan risiko kematian. Dalam ulasan ini, kami mencari bukti-bukti tentang kesan vitamin E kepada orang-orang yang menghidapi penyakit demensia sama ada disebabkan oleh AD atau masalah dengan ingatan atau pemikiran yang kurang serius (ketakmampuan kognitif yang ringan atau MCI). Pesakit dengan MCI mempunyai peningkatan risiko menghidapi demensia.

Kajian yang terlibat

Kami mencari kajian-kajian klinikal yang diterbitkan sehingga April 2016 yang telah mengagihkan orang dengan dementia kerana AD atau dengan MCI secara rawak dengan vitamin E atau plasebo (rawatan berpura-pura). Kami mendapati terdapat tiga kajian yang telah menyiasat kesan vitamin E ke atas orang-orang yang mengidapi AD, tetapi kami hanya boleh mengeluarkan data daripada satu kajian (304 peserta). Kami mendapati hanya terdapat satu kajian yang menyiasat kesan vitamin E keatas orang yang mempunyai MCI, yang menglibatkan 516 peserta. Kualiti kedua-dua kajian ini adalah secara amnya baik.

Keputusan-keputusan

Dalam tempoh tiga tahun, Vitamin E tidak mengurangkan bilangan pesakit dengan MCI yang kemudiannya mengidapi demensia. Kami juga tidak menemui sebarang bukti bahawa vitamin E akan memnambahbaik kognisi (contohnya pembelajaran dan ingatan) dalam kalangan pesakit dengan MCI atau demensia kerana AD. Satu kajian mendapati bahawa pengidap demensia kerana AD yang mengambil vitamin E boleh menguruskan aktiviti harian (cth: mandi dan memakai pakaian) dengan lebih baik daripada orang-orang yang mengambil plasebo. Daripada kajian-kajian ini, tiada bukti bahawa vitamin E akan membawa kesan yang mudarat kepada para peserta, tetapi kajian jenis ini bukanlah cara terbaik untuk mencari kesan-kesan berbahaya kecuali kesan-kesan sampingan yang sangat biasa. Oleh sebab semua keputusan datang daripada hanya satu kajin, terdapat kemungkinan bahawa penyelidikan yang lanjut boleh memberi kesimpulan yang berbeza.

Kesimpulan

Daripada bukti yang terhad ini, kami tidak mempunyai apa-apa untuk mencadangkan bahawa terdapat manfaat ataupun kemudaratan daripada tambahan vitamin E. Oleh sebab kualiti bukti yang hanya sederhana, kajian lanjutan diperlukan untuk mengesahkan penemuan kajian. Terdapat kemungkinan bahawa dos atau jenis vitamin E yang berbeza mungkin mempunyai kesan yang berbeza.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Teoh Ru Jian Jonathan (Penang Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi jonathanteoh_c2017@ms.pmc.edu.my.

Tools
Information