Amantadine dan rimantadine untuk mencegah dan merawat influenza A dalam kalangan kanak-kanak dan warga tua

Soalan ulasan

Seperti yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), oseltamivir (Tamiflu) kini diguna untuk mereka yang menghidap influenza A. Dalam pandemik terdahulu, virus ini rentan kepada amantadine dan rimantadine. Jika ubat-ubat ini selamat dan virus yang beredaran terbukti rentan kepada ubat-ubat ini, ia mungkin boleh menjadi alternatif untuk menguruskan influenza. Oleh itu kami ingin menjawab soalan samada atau tidak amantadine dan rimantadine boleh mencegah dan merawat influenza A dalam kalangan kanak-kanak dan warga tua.

Latar belakang

Influenza A adalah jangkitan pernafasan yang menyebabkan batuk, hidung berair dan demam. Kebanyakan simtom berlalu tanpa rawatan dalam jangkamasa tiga hingga tujuh hari. Walaubagaimanapun, kemasukan ke hospital, pneumonia ataupun kematian adalah komplikasi yang jarang, terutama dalam kalangan kanak-kanak dan warga tua. Pandemik juga membimbangkan.

Keputusan utama dan kualiti bukti

Kami mengenalpasti 12 kajian (2494 peserta: 1586 kanak-kanak dan 908 warga tua). Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan amantadine atau rimantadine dengan tanpa intervensi, plasebo atau ubat terkawal dalam kalangan kanak-kanak dan warga tua. Carian terkini selesai pada Oktober 2014. Kami melihat kepada beberapa hasil, termasuk influenza A, tempoh demam, batuk, sakit kepala, loya/muntah, pening dan rangsangan/insomnia.

Walaupun amantadine berkesan mencegah influenza A dalam kalangan kanak-kanak, ia perlu digunakan sehingga 17 kanak-kanak bagi tempoh 14 hingga 18 minggu untuk mencegah satu kes influenza A. Tambahan pula, keselamatan ubat tersebut tidak mantap. Kualiti bukti adalah rendah.

Keberkesanan kedua-dua antiviral terhad kepada manfaat dari rimantadine dalam pengurangan demam pada hari ketiga rawatan dalam kalangan kanak-kanak. Kualiti bukti adalah sederhana. Manfaat ini tidak mewajarkan justifikasi cadangan penggunaan rimantadine bagi merawat semua kanak-kanak dengan influenza A.

Rimantadine tidak menunjukkan kesan profilaksis (pencegahan) dalam kalangan warga tua. Kualiti bukti adalah sangat rendah.

Kesimpulan

Kualiti bukti serta kurangnya pengetahuan mengenai keselamatan amantadine dan manfaat rimantadine yang terhad, tidak menunjukkan amantadine dan rimantadine berbanding kontrol (plasebo atau parasetamol) mungkin berguna dalam mencegah, merawat dan memendekkan tempoh influenza A dalam kalangan kanak-kanak dan warga tua.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan olehNoor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save