Ubat gigi berflorida untuk pencegahan karies gigi dalam kanak - kanak dan remaja.

Kanak-kanak yang memberus gigi sekurang-kurangnya sekali sehari dengan ubat gigi berfluorida akan mengalami kurang kerosakan gigi.Kerosakan gigi (karies gigi) adalah sakit, mahal untuk dirawat dan kadangkala boleh membawa kepada kerosakan gigi yang serius. Fluorida adalah sejenis mineral yang mencegah kerosakan gigi. Kajian sistematik ini mendapati bahawa kanak- kanak berumur 5 hingga 16 tahun yang menggunakan ubat gigi berfluorida mempunyai kurang gigi rosak, hilang atau tampalan gigi kekal selepas tiga tahun (tidak kira samada air yang diminum berflorida atau tidak). Penggunaan dua kali sehari menambahkan faedah. Tiada kesimpulan dapat dibuat berkenaan risiko penggunaan ubat gigi berfluorida menyebabkan fluorosis suatu kesan kronik pengambilan fluoride berlebihan semasa kecil.

Kesimpulan pengarang: 

Manfaat ubat gigi berfluorida telah dipastikan dengan sokongan penyelidikan lebih separuh abad. Secara keseluruhan, kajian-kajian klinikal yang terpilih adalah berkualiti tinggi dan menyediakan bukti nyata bahawa ubat gigi berfluorda adalah berkesan untuk mencegah karies.

Baca abstrak penuh ...
Latar belakang: 

Ubat gigi berfluorida telah digunakan dengan meluas lebih 3 dekad dan kekal sebagai intervensi penanda aras untuk pencegahan karies gigi.

Objektif: 

Untuk menentukan keberkesanan dan keselamatan ubat gigi berfluorida dalam pencegahan karies dalam kanak- kanak dan menilai faktor-faktor yang berpotensi mengubah kesannya.

Strategi carian: 

Kami membuat carian Daftar Kajian Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane (Mei 2000), Daftar Pusat Kajian Klinikal Terkawal Cochrane (CENTRAL) (Perpustakaan Cochrane 2000, Isu 2), MEDLINE (1966 hingga Januari 2000) dan beberapa pangkalan data.Kami membuat carian tangan jurnal, senarai rujukan artikel dan menghubungi penulis dan pengilang tertentu.

Kriteria pemilihan: 

Kajian klinikal atau kuasi-klinikal rawak dengan penilaian hasil 'blind' yang membandingkan ubat gigi berfluorida dengan plasebo dalam kanak -kanak berumur sehingga 16 tahun. Hasil utama ialah ukuran pertambahan karies melalui perubahan pada kerosakan, kehilangan dan restorasi permukaan gigi (D(M)FS).

Pengumpulan data dan analisis: 

Keputusan pemilihan kajian, penilaian kualiti dan penggalian data diduplikasi dalam sepertiga sampel rawak dan konsensus dicapai melalui perbincangan atau penglibatan pihak ketiga. Penulis kajian dihubungi untuk sebarang data yang diperlukan. Ukuran utama keberkesanan adalah ‘pecahan dicegah’ iaitu perbezaan di antara pertambahan karies di antara kumpulan kontrol dan kumpulan yang menerima rawatan, diekspresi sebagai peratus pertambahan di dalam kumpulan kontrol. Meta-analisis kesan rawak dijalankan pada data terkumpul. Sumber yang berpotensi untuk kepelbagaian dinilai melalui kesan rawak analisis metaregresi.

Keputusan utama: 

Tujuh-puluh empat kajian telah disertakan. Untuk 70 kajian yang menyumbag data kepada meta-analisis (melibatkan 42,300 kanak-kanak) ‘pecahan yang dicegah’ (PF) terkumpul D(M)FS adalah 24% (95% interval keyakinan (IK), 28%;p<0.0001). Ini bermakna 1.6 kanak-kanak perlu memberus dengan ubat gigi berfluorida (daripada ubat gigi tanpa fluorida) untuk mencegah satu D(M)FS per tahun dalam populasi yang mempunyai pertambahan karies 2.6 D(M)FS per tahun. Di dalam populasi yang mempunyai pertambahan karies 1.1 D(M)FS per tahun, 3.7 kanak-kanak perlu menggunakan ubat gigi berfluorida untuk mencegah satu D(M)FS. Terdapat kepelbagaian nyata yang sah secara statistik (P<0.0001). Kesan ubat gigi berfluorida meningkat dengan paras nilai asas D(M)FS yang lebih tinggi, kepekatan fluorida yang lebih tinggi, frekuensi penggunaan yang lebih tinggi, pemberusan yang dikawalselia,namun tidak dipengaruhi oleh pendedahan kepada air berfluorida. Maklumat tentang gigi desidus atau kesan sampingan sangat kurang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka Manipal Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my. Disunting oleh Nai Ming Lai (Taylor's University Lakeside Campus; lainm123@gmai.com)

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan