Penyekat-beta untuk hipertensi

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk menilai sama ada penyekat-beta mengurangkan jumlah kematian, strok, dan serangan jantung yang berkaitan dengan hipertensi dalam kalangan orang dewasa. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati 13 kajian yang relevan.

Adakah penyekat-beta sama baik dengan ubat-ubat lain apabila digunakan dalam rawatan orang dewasa dengan hipertensi?

Penyekat-beta tidak begitu baik untuk mencegah jumlah kematian, strok, dan serangan jantung seperti kelas-kelas ubat-ubatan yang lain misalnya diuretik, penyekat saluran kalsium, dan perencat sistem renin-angiotensin. Kebanyakan penemuan ini adalah dari satu jenis penyekat-beta yang dipanggil atenolol. Walau bagaimanapun, penyekat-beta ialah sekumpulan ubat-ubatan dengan ciri-ciri yang berbeza, dan kita memerlukan lebih banyak penyelidikan yang bermutu dalam bahagian ini.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Berjuta-juta orang dengan tekanan darah tinggi mengalami strok, serangan jantung, dan penyakit-penyakit lain, dan kebanyakan mereka mati. Situasi ini dapat dicegah dengan rawatan yang bersesuaian. Para penyelidik telah mencuba pelbagai jenis ubat-ubatan untuk merawat tekanan darah tinggi.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mendapati 13 kajian dari negara-negara berpendapatan tinggi, terutamanya Eropah Barat dan Amerika Utara. Dalam kajian-kajian tersebut, orang yang menerima penyekat-beta dibandingkan dengan orang yang tidak menerima rawatan atau ubat-ubat lain. Kajian menunjukkan maklumat berikut.

Penyekat-beta mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan bilangan kematian dalam kalangan orang yang menerima rawatan untuk tekanan darah tinggi. Kesan ini kelihatan sama seperti diuretik dan perencat sistem renin-angiotensin, tetapi penyekat-beta mungkin tidak sebaik penyekat saluran kalsium dalam mencegah kematian akibat tekanan darah tinggi.

Penyekat-beta mungkin dapat mengurangkan bilangan strok dan kesan ini kelihatan sama seperti kesan diuretik. Walau bagaimanapun, penghalang-beta mungkin tidak sebaik perencat sistem renin-angiotensin atau penghalang saluran kalsium dalam mencegah strok.

Penyekat-beta mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan bilangan serangan jantung dalam kalangan orang yang mempunyai tekanan darah tinggi. Bukti ini mencadangkan bahawa kesan ini mungkin tidak berbeza daripada kesan diuretik, perencat sistem renin-angiotensin, atau penyekat saluran kalsium. Walau bagaimanapun, dalam kalangan orang yang berumur 65 tahun atau lebih, bukti mencadangkan bahawa penyekat-beta mungkin tidak sebaik diuretik dalam mengurangkan serangan jantung.

Orang yang diberi penyekat-beta lebih cenderung untuk mengalami kesan-kesan sampingan dan berhenti rawatan daripada orang yang menerima perencat sistem renin-angiotensin, tetapi mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan kesan sampingan di antara penyekat-beta dan diuretik atau penyekat saluran kalsium.

Adakah ulasan ini terkini?

Pengarang ulasan mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Jun 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Ng.ChiaShyn@student.imu.edu.my.

Tools
Information