Urut untuk sakit pinggang

Soalan ulasan

Apakah kesan-kesan terapi urutan untuk mereka yang mempunyai sakit pinggang(LBP)?

Latar belakang

Sakit pinggang adalah satu kondisi yang sangat biasa. Walaupun kebanyakan sakit pinggang akan menjadi lebih baik tanpa rawatan perubatan, kira-kira 10% daripada kes-kes akan berlangsung selama tiga bulan atau lebih. Terdapat banyak terapi yang digunakan untuk merawat kesakitan ini dan dapat memperbaiki kehidupan individu dengan sakit belakang. Urut adalah salah satu daripada rawatan yang boleh digunakan.

Tarikh carian

Kami mengemaskini carian-carian pada 7 Ogos 2014 dan memilih 12 ujian terkawal rawak (RCTs) baru dalam ulasan ini.

Ciri-ciri kajian

Secara keseluruhan kami telah memilih 25 RCTs dan 3096 orang peserta dalam ulasan baru ini. Hanya satu ujian melibatkan pesakit dengan LBP akut (tempoh kesakitan yang kurang daripada empat minggu), manakala semua ujian yang lain melibatkan pesakit dengan LBP sub-akut (empat hingga 12 minggu) atau kronik (12 minggu atau lebih). Dalam tiga ujian-ujian, terapi urut telah digunakan dengan menggunakan alat mekanikal (seperti bar logam untuk meningkatkan mampatan kepada kulit atau alat yang bergetar), dan dalam ujian yang lain ia dilakukan dengan menggunakan tangan. Intensiti dan kualiti kesakitan adalah parameter yang paling biasa diukur dalam kajian ini, diikuti dengan fungsi yang berkaitan dengan bahagian belakang badan seperti berjalan, tidur, membongkok dan mengangkat berat.

Sumber dana kajian

Tujuh kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan, dan enam belas ujian-ujian dibiayai oleh pertubuhan-pertubuhan bukan untung. Satu kajian yang dilaporkan tidak menerima sebarang pembiayaan, dan satu kajian telah dibiayai oleh College of Massage Therapists.

Keputusan-keputusan utama

Terdapat lapan kajian yang membandingkan terapi urut dengan intervensi yang tidak dijangka dapat meningkatkan kesan (kawalan tidak aktif) dan 13 kajian yang membandingkan terapi urut dengan intervensi lain yang dijangka dapat meningkatkan kesan (kawalan aktif). Terapi urut adalah lebih baik daripada kawalan tidak aktif bagi kesakitan dan fungsi dalam jangka pendek, tetapi tidak dalam susulan jangka panjang. Terapi urut adalah lebih baik daripada kawalan aktif untuk sakit dalam kedua-dua susulan jangka pendek dan panjang, tetapi kami tidak mendapati perbezaan dalam fungsi, sama ada dalam susulan jangka masa pendek atau panjang. Tidak ada kesan sampingan serius yand dilaporkan dalam laporan dalam mana-mana ujian ini. Kesan-kesan sampingan yang paling biasa adalah peningkatan intensiti kesakitan dalam 1.5% kepada 25% daripada peserta.

Kualiti bukti

Kualiti bukti untuk semua perbandingan telah digredkan "rendah" atau "sangat rendah" yang bermaksud kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah terhadap keputusan ini. Ini kerana kebanyakan kajian yang digunakan adalah kecil dan mempunyai kelemahan metodologi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ng Chia Shyn (International Medical University). Disunting oleh Sharifah Salimah Jaafar (Regency Specialist Hosp Sdn Bhd, JB). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Ng.ChiaShyn@student.imu.edu.my.

Tools
Information