Antibiotik untuk mencegah komplikasi dikalangan kanak-kanak yang mengidap campak

Campak ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus. Terdapat vaksin yang berkesan yang boleh mencegah penyakit campak, tetapi masih terdapat 30 hingga 40 juta manusia didunia dijangkiti penyakit ini setiap tahun. Setiap tahun campak menyebabkan lebih dari setengah juta kematian dan dianggarkan bertanggungjawab untuk 44% dari 1.7 juta kematian yang boleh dielakkan melalui pengambilan vaksin dikalangan kanak-kanak. Komplikasi penyakit ini diantaranya adalah radang paru-paru, radang dalam telinga, radang tekak, cirit-birit dan konjunktivitis ataupun sakit mata.

Pada masa ini, pengambilan dua dos Vitamin A disyorkan untuk mencegah komplikasi pada kanak-kanak yang berumur bawah dua tahun. Cara lain untuk mencegah komplikasi selepas jangkitan campak ialah dengan memberi antibiotik kepada kanak-kanak. Objektif ulasan ini ialah untuk menilai kesan-kesan antibiotik yang diberikan kepada kanak-kanak pengidap campak untuk mengurangkan terjadinya radang paru-paru, morbiditi lain dan kematian. Ulasan ini mengandungi keputusan carian dari Mei 2013 dan termasuk tujuh ujikaji klinikal terkawal (1263 kanak-kanak), menunjukkan bahawa kanak-kanak pengidap campak yang diberi antibiotik kadar kejadian radang paru-paru, jangkitan telinga dan tonsilitis adalah lebih rendah berbanding dengan kanak kanak yang tidak diberi antibiotik. Bagaimanapun, tidak terdapat manfaat bagi konjunktivitis ataupun gastroenteritis atau cirit birit. Tiada kesan sampingan yang ketara disebabkan oleh pengambilan ubat kajian yang dapat dilihat dalam kajian ini. Oleh kerana kebanyakan kajian telah dijalankan lima dekad yang lalu menggunakan metodologi kajian yang lemah dan mengunakan jenis antibiotik yang lama, terdapat keperluan untuk menjalankan kajian terkawal yang dibuat secara rawak dengan menggunakan antibiotik yang lebih baru / terkini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah s Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information