Misoprostol oral untuk induksi bersalin

Misoprostol oral berkesan untuk induksi (memulakan) bersalin. Ia lebih berkesan daripada placebo, sama berkesan seperti misoprostol dan dinoprostona faraj, dan mengurangkan pembedahan caesarean berbanding oksitosin. Walau bagaimanapun, masih kurang data dari kajian rawak terkawal untuk menentukan dos terbaik yang selamat.

Induksi bersalin diguna di peringkat akhir kehamilan untuk mencegah komplikasi apabila wanita hamil tersebut atau anak dalam kandungannya berisiko. Sebab-sebab induksi termasuklah terlebih tempoh, ruptur membrab sebelum persalinan, dan tekanan darah tinggi. Prostaglandin ialah hormon semulajadi rahim; ia boleh melembutkan serviks dan merangsang kontraksi persalinan. Prostaglandin E2 tiruan dinoprostona boleh dimasukkan melalui faraj untuk induksi persalinan tetapi ia tidak stabil pada suhu bilik dan mahal. Misoprostol oral adalah analog sintetik prostaglandin E1 yang murah dan stabil haba yang dihasilkan untuk rawatan ulser perut.

Carian kajian-kajian berlaku pada Januari 2014. Ulasan 75 kajian rawak terkawal (13.793 wanita) ini mendapati misoprostol oral sekurang-kurangnya sama berkesan seperti kaedah induksi persalinan masa kini.

Sembilan kajian (1,282 wanita) menunjukkan misoprostol oral sama berkesan seperti infusi intravena oksitosin. Tiada perbezaan ketara dalam bilangan wanita dengan kelahiran faraj dalam tempoh 24 jam, atau bilangan wanita yang mengalami hiper-rangsangan rahim dengan perubahan kadar denyut jantung bayi, walaupun terdapat kurang pembedahan caesarian dalam kumpulan wanita yang diberi misoprostol oral.

Bagi 37 kajian (6,417 wanita) yang membandingkan misoprostol oral dan faraj, terdapat sedikit perbezaan dalam bilangan wanita dengan kelahiran faraj dalam tempoh 24 jam, hiper-rangsangan rahim dengan perubahan kadar denyut jantung bayi, atau pembedahan caesarian.

Dalam 10 kajian (3,240 wanita) membandingkan misoprostol oral dengan prostaglandin faraj (dinoprost), terdapat sedikit perbezaan dalam kekerapan kelahiran faraj dalam tempoh 24 jam, hiper-rangsangan rahim dengan perubahan kadar denyut jantung bayi, atau pembedahan caesarian.

Sembilan kajian yang membandingkan misoprostol oral dengan plasebo (1,109 wanita) mendapati misoprostol oral adalah lebih berkesan untuk induksi pelahiran. Wanita dalam kumpulan misoprostol oral lebih cenderung untuk kelahiran faraj dalam tempoh 24 jam, dan kurang cenderung untuk pembedahan caesarian. Terdapat sedikit perbezaan antara kumpulan-kumpulan dari segi bilangan wanita yang mengalami hiper-rangsangan rahim dengan perubahan kadar denyut jantung bayi.

Lima kajian membandingkan misoprostol oral dengan prostaglandin E2 intra-serviks (dimasukkan ke dalam pintu masuk rahim) (681 wanita). Misoprostol oral dikaitkan dengan kurang kegagalan kelahiran faraj dalam tempoh 24 jam tetapi lebih kerap untuk hiper-rangsangan rahim dengan perubahan kadar denyut jantung bayi. Data yang tersedia untuk perbandingan ini adalah terhad dan perbezaan dalam kelahiran caesarian adalah kecil.

Secara keseluruhan,insiden penyakit serius atau kematian ibu atau bayi jarang berlaku dan tiada keputusan yang bermakna untuk sebarang perbandingan dalam ulasan ini.

Menggunakan misoprostol oral untuk induksi pelahiran adalah berkesan bagi mencapai kelahiran faraj. Ia lebih berkesan daripada plasebo, sama berkesan dengan misoprostol dan dinoprostona faraj, dan menngurangkan pembedahan caesarean berbanding oksitosin sahaja.

Di sesetengah negara di mana misoprostol tidak dilesenkan untuk tujuan induksi pelahiran, kebanyakkan klinisian mungkin lebih memilih produk lain yang berlesen seperti dinoprostona. Di mana misoprostol oral digunakan, bukti menunjukkan bahawa dos yang sesuai mungkin 20 hingga 25 mcg dalam larutan. Memandangkan keselamatan adalah kebimbangan utama, bukti menyokong penggunaan rejimen oral berbanding rejimen faraj. Hal ini sangat penting di persekitaran-persekitaran di mana ibu berisiko jangkitan lebih tinggi dan mungkin tiada kakitangan yang cukup untuk memantau rapi ibu dan bayi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Ng Chin Ang (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information