Bolehkah media massa(televisyen, radio, surat khabar, papan iklan dan buku kecil) menghalang anak-anak muda daripada mula merokok?

Latar belakang

Merokok adalah epidemik zaman moden. Pencegahan anak-anak muda dari merokok tetap menjadi keutamaan kesihatan, memandangkan pencubaan untuk merokok bermula pada usia yang awal. Salah satu kaedah untuk mencapai matlamat ini adalah melalui media massa, yang mempunyai potensi untuk mencapai dan mengubah suai sikap, pengetahuan dan tingkah laku sebahagian besar populasi.

Soalan ulasan

Bolehkah kempen media massa mencegah anak-anak muda dari mula merokok?

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati terdapat lapan kajian daripada 1326 penerbitan, yang meliputi 52,746 peserta. Salah satu kajian yang dicari adalah baru kepada ulasan yang telah dikemas kini ini. Pencarian terbaru dilakukan pada bulan Jun 2016. Semua kajian ditumpukan kepada belia berumur kurang daripada 25 tahun. Tujuh kajian telah dijalankan di Amerika Syarikat dan satu lagi dijalankan di Norway. Kaedah media massa (contohnya televisyen) yang dipilih, ciri-ciri peserta yang mengambil bahagian (contohnya umur), dan juga tempoh masa susulan, berbeza antara kajian.

Keputusan-keputusan utama

Tiga daripada lapan kajian mendapati bahawa intervensi tersebut berkesan dalam mencegah amalan merokok dalam kalangan belia. Lima kajian yang lain tidak mengesan apa-apa impak. Walaupun terdapat beberapa pertindihan dalam ciri-ciri kedua-dua program yang berkesan dan tidak berkesan, kempen yang berkesan cenderung untuk bertahan lebih lama (minimum 3 tahun) dan lebih sengit (lebih banyak masa bertembungan) bagi kedua-dua pelajaran di sekolah (minimum lapan pelajaran per gred) dan tempat-tempat media (minimum empat minggu merentasi pelbagai saluran media antara 167 dan 350 tempat TV dan radio). Gabungan kuasa komponen sekolah (contoh poster sekolah) dan penggunaan media untuk mengulangkan mesej melalui pelbagai saluran (contohnya surat khabar, radio, televisyen) telah menyumbang kepada kempen yang berjaya.

Kualiti bukti

Kualiti kajian dalam ulasan ini adalah terhad, disebabkan oleh isu dalam melaporkan keputusan dan isu tentang reka bentuk kajian. Kajian-kajian tersebut berbeza dari segi reka bentuk, intervensi yang diuji, dan populasi yang terlibat. Kajian menunjukkan keputusan yang berbeza. Khususnya, tiada kajian yang melaporkan pembutaan kumpulan "blinding" dan wujudnya isu tentang bagaimana kajian tersebut dibahagikan kepada kumpulan intervensi atau kawalan. Oleh itu, kami tidak dapat membuat kesimpulan yang muktamad berdasarkan bukti dalam ulasan ini. Adalah amat membimbangkan bahawa hanya dua kajian dari 10 tahun yang lalu disertakan dalam ulasan ini, terutamanya dengan peningkatan penggunaan media sosial di kalangan belia masa kini. Lebih banyak kajian yang bermutu tinggi diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ting Ling Kweh (Penang Medical College). Disunting olen Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan, berkaitan terjemahan ini sila hubungi tlkweh@ms.pmc.edu.my

Tools
Information