Induksi proses bersalin pada atau di akhir tempoh kehamilan untuk bayi yang disyaki sangat besar (makrosomia)

Apakah isunya?

Bayi yang sangat besar (atau makrosomia, dengan berat lahir lebih daripada 4000 g) boleh menghadapi kesukaran dan kadang-kadang kelahiran yang bertrauma. Satu cadangan untuk cuba mengurangkan trauma ini adalah untuk mencetuskan kelahiran awal (induksi), sebelum bayi menjadi terlalu besar. Anggaran berat bayi adalah sukar sebelum kelahiran dan tidak begitu tepat. Anggaran klinikal adalah berdasarkan rasaan rahim dan mengukur ketinggian fundus rahim. Kedua-duanya adalah tertakluk kepada variasi yang besar. Pengimbasan ultrasound juga tidak tepat, bayi yang disyaki besar mungkin tidak boleh disahkan pada masa kelahiran. Ini mungkin membimbangkan ibu bapa.

Mengapakah ini penting?

Jika induksi proses bersalin dilaksanakan terlalu awal, boleh menyebabkan bayi dilahirkan pramatang dan dengan organ-organ yang tidak matang.

Apakah bukti yang telah kami temui?

Kami mendapati empat kajian yang menilai induksi proses bersalin pada 37 hingga 40 minggu untuk wanita yang disyaki bayi mereka besar. Sejumlah 1190 wanita mengandung, tanpa kencing manis terlibat. Kami mencari bukti pada 31 Oktober 2015. Kajian-kajian ini mempunyai kualiti yang sederhana atau baik walaupun wanita dan kakitangan yang memberi penjagaan tidak dapat dibutakan kepada kumpulan mana wanita tersebut telah ditugaskan. Ini mungkin membawa kepada serong.

Apakah maksud ini?

Bilangan kelahiran di mana bahu bayi tersekat (shoulder dystocia) atau tulang telah patah (biasanya tulang selangka, yang menyembuh dengan baik tanpa akibat) telah mengurang dalam kumpulan induksi proses bersalin. Bukti dinilai sebagai berkualiti sederhana untuk bahu bayi tersekat dan berkualiti tinggi untuk patah tulang. Tiada perbezaan yang jelas antara kumpulan telah dilaporkan bagi kerosakan rangkaian saraf yang menghantar isyarat melalui tulang belakang ke bahu, lengan dan tangan (kecederaan plexus brakial) bayi (kualiti bukti rendah kerana hanya sedikit peristiwa yang berlaku) atau tanda-tanda oksigen tidak mencukupi semasa kelahiran. Polisi induksi proses bersalin mengurangkan berat kelahiran purata bayi sebanyak 178 g. Kajian tidak menunjukkan sebarang perbezaan dalam bilangan wanita yang menjalani pembedahan caesarean atau kelahiran instrumental. Kami merumuskan bahawa terdapat manfaat, tetapi juga terdapat beberapa kelemahan bagi induksi proses bersalin sejurus sebelum jangka bersalin. Pilihan untuk mengadakan induksi perlu dibincangkan dengan ibu bapa apabila bayi mereka disyaki lebih besar.

Walaupun sesetengah ibu bapa dan doktor mungkin merasa bukti yang sedia ada adalah mencukupi untuk mewajarkan induksi proses bersalin, yang lain mungkin tidak bersetuju. Kajian lanjut berkualiti tinggi diperlukan untuk mengetahui masa yang terbaik untuk mendorong proses bersalin pada tempoh akhir kehamilan, dan bagaimana untuk meningkatkan ketepatan dalam membuat diagnosis makrosomia.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campu). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information