Intervensi untuk merawat perikarditis tuberkulus

Apakah isunya?

Jangkitan tuberkulosis perikardium di sekeliling jantung adalah jarang tetapi mengancam nyawa.

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk menilai kesan rawatan untuk orang dengan perikarditis tuberkulus.

Apakah ini penting?

Doktor mempreskripsi ubat antituberkulus selama enam bulan, mengalirkan cecair dari perikardium jika pesakit mengalami kegagalan jantung, dan kadangkala mengeluarkan perikardium jika ia tebal dan membuat pesakit sakit dan kadangkala memberi kortikosteroid untuk mengurangkan kesan keradangan.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Penyelidik Cochrane mengumpul dan menilai semua kajian relevan yang berpotensi dan mendapati tujuh kajian, semuanya dijalankan di sub-Sahara Afrika. Enam kajian menilai kortikosteroid. Rawatan lain yang dinilai termasuk imunoterapi Mycobacterium indicus pranii, colchicine, dan pembedahan pembuangan cecair di bawah anestesia umum. Ulasan ini adalah satu edisi baharu dalam ulasan tahun 2002.

Bagi orang yang tidak dijangkiti HIV, enam kajian mendapati steroid tambahan boleh mengurangkan kematian secara keseluruhan (bukti kepastian rendah) dan mungkin mengurangkan kematian yang disebabkan oleh perikarditis (bukti kepastian sederhana). Steroid mungkin mencegah pengumpulan cecair di ruang perikardium (bukti kepastian rendah). Namun, kami tidak tahu sama ada kortikosteroid mempunyai kesan ke atas penyempitan atau kanser dalam kalangan orang HIV negatif atau tidak (bukti kepastian sangat rendah).

Dalam kalangan orang yang hidup dengan HIV, kebanyakan orang yang dinilai dalam kajian-kajian tidak menggunakan ubat antiretroviral. Bagi pesakit-pesakit ini, kortikosteroid mungkin mengurangkan perikarditis konstriktif (bukti kepastian rendah), tetapi kami tidak tahu sama ada ini bermakna pengurangan bilangan kematian atau kanser (bukti kepastian sangat rendah). Kortikosteroid mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap pengumpulan cecair di ruang perikardium (bukti kepastian rendah).

Colchicine dinilai dalam satu kajian melibatkan 33 orang, dengan data yang tidak cukup untuk membuat kesimpulan terhadap kesannya.

Berdasarkan satu kajian, adalah tidak pasti sama ada menambah imunoterapi M. indicus pranii kepada ubat antituberkulus berkesan ke atas sebarang hasil dalam kalangan orang dengan perikarditis tuberkulus tidak kira status HIV mereka (bukti kepastian sangat rendah).

Saliran pembedahan terbuka cecair yang terkumpul di antara jantung dan membran menggunakan anestesia umum mungkin dikaitkan dengan pengumpulan semula cecair yang kurang mengancam nyawa dalam kalangan orang yang tidak dijangkiti HIV, tetapi kesimpulan adalah tidak mungkin kerana bilangan peserta yang dikaji adalah terlalu kecil. Kami tidak menemui kajian yang layak yang menilai kesan saliran pembedahan terbuka dalam kalangan orang dengan HIV.

Penulis ulasan tidak mendapati kajian yang layak yang memeriksa jangka rawatan antituberkulus yang diperlukan ataupun kesan rawatan tambahan yang lain untuk perikarditis tuberkulus.

Adakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari kajian yang diterbitkan sehingga 27 Mac 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save