Pembasmian cacing dalam kanak-kanak sekolah di negara-negara membangun

Dalam ulasan Cochrane ini, para penyelidik Cochrane telah mengkajikan kesan-kesan pembasmian cacing dalam kanak-kanak di kawasan yang kerap terdapat jangkitan cacing usus. Selepas mencari kajian yang berkaitan sehingga April 2015, kami telah memasukkan 44 kajian dengan jumlah 67,672 peserta, dan satu kajian tambahan yang merangkumi satu juta kanak-kanak.

Apakah itu pembasmian cacing dan mengapa ia penting?

Cacing yang boleh menjangkiti orang melalui tanah(soil-transmitted worms), termasuk roundworms, hookworms dan whipworms, adalah biasa di kawasan tropika dan subtropika, dan mempengaruhi kanak-kanak terutamanya daripada kawasan berpendapatan rendah yang mana sanitasi mereka adalah tidak mencukupi. Jangkitan cacing adalah dikaitkan dengan malnutrisi, pertumbuhan yang tidak mencukupi dan anemia dalam kanak-kanak.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia kini mencadangkan bahawa kanak-kanak sekolah yang berada di kawasan endemik perlu sering dirawat dengan ubat-ubatan yang membunuh cacing. Ubat-ubatan yang disyorkan adalah berkesan dalam menghapuskan atau mengurangkan jangkitan cacing, tetapi soalan kekal sama ada tindakan ini akan mengurangkan anemia dan meningkatkan pertumbuhan, dan seterusnya meningkatkan kehadiran sekolah, prestasi sekolah, dan pembangunan ekonomi, seperti yang didakwa.

Apakah yang dinyatakan oleh kajian

Dalam kajian-kajian yang hanya merawat kanak-kanak yang sememangnya dijangkiti, ubat-ubatan cacing boleh meningkatkan berat badan (bukti kualiti rendah), tetapi kami tidak tahu sekiranya ia mempunyai kesan ke atas fungsi kognitif atau fizikal kesejahteraan (bukti kualiti yang sangat rendah ).

Dalam percubaan-percubaan yang merawat semua kanak-kanak yang tinggal di kawasan endemik, ubat-ubatan cacing mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap purata peningkatan berat badan (bukti kualiti sederhana), tahap hemoglobin (bukti kualiti rendah) atau kognitif (bukti kualiti sederhana).

Rawatan cacing yang kerap, setiap tiga hingga enam bulan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap purata penigkatan berat badan (bukti-bukti kualiti rendah). Kesan-kesannya adalah pelbagai dari kajian ke kajian: satu percubaan dari 1995 dalam keadaan prevalensi rendah mendapati penambahan dalam berat badan, tetapi sembilan kajian yang dijalankan kemudiannya dari keadaan prevalensi sederhana atau tinggi menunjukkan tiada kesan.

Bukti-bukti telah menunjukkan bahawa rawatan yang kerap mungkin tidak mempunyai kesan ke atas purata ketinggian (bukti kualiti sederhana), tahap hemoglobin (bukti kualiti rendah), ujian formal untuk kognitif (bukti kualiti sederhana), atau prestasi dalam peperiksaan (bukti kualiti sederhana). Kami tidak tahu samada ia mempunyai kesan ke atas kehadiran sekolah (bukti kualiti yang sangat rendah).

Rumusan pengarang

Merawat kanak-kanak yang diketahui dijangkiti cacing boleh meningkatkan berat badan, tetapi bukti-bukti yang terdapat adalah terhad bagi manfaat lain. Bagi pembasmian cacing yang rutin kepada kanak-kanak sekolah di kawasan endemik, bukti-bukti telah menunjukkan bahawa program ini tidak menunjukkan manfaat dari segi purata taraf pemakanan, tahap hemoglobin, kognitif, prestasi dalam sekolah, atau kematian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi peiyee95@hotmail.com.

Tools
Information
Berkongsi/Menyimpan