Antibiotik untuk selsema biasa, salah satu jangkitan salur pernafasan atas

Kebanyakan orang akan mengalami satu atau lebih episod selsema biasa setiap tahun. Selsema biasa adalah salah satu sebab orang ramai kecuali di negara berpendapatan rendah menggunakan antibiotik, lebih lebih lagi jika hingus yang keluar dari hidung mereka berwarna (radang hidung bernanah). Namun begitu, selsema biasa disebabkan oleh virus, yang mana antibiotik tidak memberi manfaat, manakala antibiotik pula boleh menyebabkan kesan sampingan termasuk cirit-birit. Penggunaan antibiotik yang berlebihan akan menyebabkan bakteria membentuk rintangan terhadap antibiotik.

Untuk mengetahui samada antibiotik berkesan untuk selsema biasa, kami telah mengenal pasti kajian-kajian yang membandingkan sekumpulan orang yang mengambil antibiotik dengan sekumpulan orang yang lain yang mengambil ubat yang kelihatan serupa tetapi tidak mengandungi antibiotik (plasebo). Kami menjumpai enam kajian tentang selsema biasa dengan jumlah peserta seramai 1047 orang dan lima kajian tentang radang hidung bernanah dengan jumlah peserta seramai 791 orang. Kebanyakan kajian mengandungi kelemahan yang boleh menyebabkan keputusan berat sebelah, terutamanya kerana kebanyakan peserta berkemungkinan mengalami jangkitan dada atau sinus yang tidak diketahui oleh para pengkaji.

Hasil keputusan mendapati bahawa antibiotik tidak berkesan samada untuk selsema biasa mahupun untuk radang hidung bernanah dan kebanyakan orang terjejas oleh kesan sampingan antibiotik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ahmad Sobri Ahmad Shukri (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi ahmadsobri@ms.pmc.edu.my. Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College; mltan@pmc.edu.my).

Tools
Information