Ubat mencairkan darah beku untuk rawatan strok iskemia pada peringkat awal

Soalan

Kami ingin membandingkan keselamatan dan keberkesanan ubat mencairkan darah beku (trombolitik) dengan plasebo atau tiada rawatan pada peringkat awal strok iskemia untuk melihat sama ada ubat mencairkan darah beku memperbaiki hasil selepas strok.

Latar belakang

Kebanyakan strok adalah disebabkan oleh satu arteri yang tersumbat dalam otak oleh darah beku. Rawatan cepat dengan ubat mencairkan darah beku (thrombolitik) boleh memulihkan pengaliran darah sebelum kerosakan otak yang besar berlaku dan mungkin bermakna bahawa orang tersebut lebih cenderung untuk pemulihan yang baik dari strok mereka. Namun, ubat thrombolik juga boleh menyebabkan pendarahan yang serius dalam otak, yang boleh membawa maut. Terapi thrombolitik sekarang sedang dinilai dalam banyak ujian rawak dalam strok iskemia akut. Alteplase, sejenis ubat thrombolitik telah dilesenkan untuk kegunaan dalam tempoh tiga jam selepas strok di Amerika Syarikat dan Kanada, dan dalam masa 4.5 jam di kebanyakan negara Eropah. Bilangan orang yang menerima rawatan ini dengan berturut-turut semakin meningkat.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mengenal pasti 27 kajian dengan jumlah 10,187 peserta dalam carian yang dijalankan sehingga Disember 2013. Kebanyakan data datang daripada kajian yang menguji satu jenis ubat (pengaktif plasminogen tisu rekobinan, rt-PA) yang diberikan ke dalam salur darah sehingga enam jam selepas mengalami strok iskemia akut, tetapi beberapa ubat lain juga diuji dan pada masa yang berlainan untuk rawatan selepas strok dan diberikan ke dalam arteri dalam otak dan bukannya ke dalam salur darah di lengan. Semua percubaan membandingkan ubat yang mencairkan darah beku dengan kumpulan plasebo (kawalan). Kebanyakan kajian melibatkan peserta-peserta yang mempunyai strok tahap sederhana sehingga teruk. Semua kajian dilakukan di hospital-hospital yang merawat pesakit strok. Perbezaan antara kajian-kajian bermakna bahawa tidak semua kajian menyumbangkan maklumat kepada semua hasil, tetapi kita telah menggunakan semua data yang tersedia. Kebanyakan kajian telah melibatkan peserta yang telah dikecualikan pendarahan otak sebagai punca gejala-gejala selepas imbasan otak tomografi (CT) (namun beberapa percubaan telah menggunakan imbasan otak medan magnetik resonans).

Keputusan utama

Terdapat persetujuan umum antara kajian-kajian awal dan satu kajian terkini yang telah ditambah dalam kemas kini ini (IST-3) bagi semua hasil utama, serta antara 12 kajian yang menguji rt-PA dan 15 kajian yang menguji ubat-ubat mencairkan darah beku yang lain. Perbezaan utama antara IST-3 dan kajian-kajian awal adalah bahawa IST-3 mempunyai ramai peserta yang berusia melebihi 80 tahun. Rawatan mencairkan darah beku boleh mengurangkan risiko pergantungan kepada orang lain dalam jangka masa panjang untuk aktiviti harian, walaupun terdapat peningkatan risiko pendarahan di otak yang juga meningkatkan risiko kematian awal. Sebaik sahaja risiko pendarahan awal telah berlalu, pada tiga atau enam bulan selepas strok, orang yang diberi ubat mencairkan bekuan lebih berkemungkinan telah sembuh daripada strok mereka dan hidup berdikari, terutama jika mereka telah dirawat dalam tempoh tiga jam yang pertama selepas strok. Orang tua mendapat manfaat seperti orang muda. Pemberian aspirin pada masa yang sama dengan ubat yang mencairkan darah beku meningkatkan risiko pendarahan dan harus dielakkan. Analisis lebih lanjut tentang faktor data pesakit individu seperti penemuan pada imbasan otak imbasan sebelum rawatan, dan cara-cara yang berbeza untuk memberi rawatan, boleh memberi maklumat lanjut daripada ringkasan data yang kami gunakan di sini. Sementara itu, orang-orang yang berpendapat bahawa mereka mengalami strok perlu sampai ke hospital dengan cepat, diperiksa oleh doktor strok, mendapatkan imbasan otak dan menerima rawatan mencairkan darah beku secepat mungkin. Mereka tidak sepatutnya teragak-agak dengan berfikir bahawa mereka 'terlalu tua' untuk menerima rawatan. Rawatan amat berkesan jika dimulakan dalam masa tiga jam selepas strok dan pasti meningkatkan hasil jika diberikan sehingga 4.5 jam selepas strok, tetapi sekiranya diberikan selepas daripada itu kesannya kurang jelas dan masih dikaji dalam kajian-kajian. Maklumat yang lebih lanjut diperlukan daripada kajian-kajian keatas orang yang mengalami strok ringan untuk melihat samada manfaat daripada ubat mencairkan darah beku mengatasi risiko pendarahan.

Kualiti bukti

Bukti-bukti kebanyakannya datang daripada kajian rawak yang bagus yang dijalankan oleh pakar-pakar strok. Beberapa kajian (8/27) telah dijalankan oleh syarikat-syarikat yang membuat ubat mencairkan darah beku, tetapi kebanyakan kajian (19/27, termasuk kebanyakan peserta) dibiayai oleh kerajaan atau sumber amal bebas daripada syarikat ubat-ubatan. Keputusan ini boleh diaplikasikan kepada pelbagai jenis orang dengan bermacam tahap strok dan penyakit lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Yin Xin (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi tan.yinxin@student.imu.edu.my

Tools
Information
Share/Save