Bolehkah terapi penggantian nikotina (NRT) bantu perokok berhenti merokok?

Latar belakang

Kami mengkaji bukti sama ada NRT membantu perokok yang ingin berhenti merokok untuk berhenti merokok pada enam bulan atau lebih lama. NRT bertujuan untuk mengurangkan gejala sarak yang dikaitkan dengan pemberhentian merokok melalui penggantian nikotina daripada rokok. NRT boleh didapati dalam bentuk tampalan di kulit yang membekalkan nikotina secara perlahan, dan gula-gula getah, semburan hidung dan oral/mulut, sedutan, dan ‘lozenges’/biji-biji pil, kesemuanya membekalkan nikotina ke otak lebih cepat dari tampalan di kulit, tetapi lebih perlahan berbanding dari menghisap rokok.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini melibatkan 136 kajian NRT, dengan 64,640 orang di dalam analisis utama. Semua kajian dijalankan dalam orang yang ingin berhenti merokok. Kebanyakan kajian dijalankan dalam kalangan orang dewasa dan mempunyai bilangan lelaki dan wanita yang agak sama. Enam kajian dijalankan dalam wanita hamil. Orang yang didaftarkan dalam kajian kebiasaannya menghisap sekurang-kurangnya 15 batang rokok sehari pada permulaan kajian. Bukti adalah terkini sehingga Julai 2017. Kajian adalah selama sekurang-kurangnya enam bulan, kecuali untuk dua dalam wanita hamil yang berakhir pada masa kelahiran.

Keputusan-keputusan utama

Kami mendapati bukti bahawa kesemua bentuk NRT menjadikannya lebih berkemungkinan berjaya percubaan seseorang untuk berhenti merokok. Peluang untuk berhenti merokok telah meningkat sebanyak 50% hingga 60%. NRT berjaya dengan atau tanpa kaunseling tambahan, dan tidak perlu diberi preskripsi oleh doktor. Kesan-kesan sampingan daripada penggunaan NRT mempunyai kaitan dengan jenis produk, dan termasuk kerengsaan kulit daripada tampalan-tampalan dan kerengsaan pada bahagian dalam mulut daripada gula-gula getah dan tablet / biji-biji pil. Tiada bukti bahawa NRT meningkatkan risiko serangan jantung. Dalam kalangan wanita hamil, bukti mencadangkan NRT boleh meningkatkan peluang untuk pemberhentian pada masa kelahiran.

Kualiti bukti

Kualiti keseluruhan bukti adalah tinggi, bermakna penyelidikan selanjutnya tidak mungkin mengubah kesimpulan kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save