Episiotomi secara pilihan berbanding penggunaan rutin untuk kelahiran faraj

Apakah isunya?

Kelahiran secara biasa boleh mengakibatkan koyakan kepada faraj dan tisu sekeliling, biasanya ketika kepala bayi dilahirkan, dan kadang-kadang koyakan ini meluas hingga ke rektum. Koyakan-koyakan ini dapat dibaiki melalui pembedahan, tetapi mengambil masa untuk sembuh. Bagi mengelakkan koyakan yang teruk, para doktor telah mencadangkan potongan pembedahan dengan gunting atau pisau bedah di perineum untuk mencegah koyakan yang teruk dan memudahkan kelahiran. Intervensi ini, dikenali sebagai episiotomi, digunakan sebagai dasar penjagaan rutin semasa kelahiran di beberapa buah negara. Kedua-dua koyakan dan episiotomi perlukan jahitan, dan boleh mengakibatkan kesakitan yang teruk, pendarahan, jangkitan, sakit ketika berhubungan seks, dan boleh menyumbang kepada masalah lemah kawalan kencing (inkontinens) pada jangka masa panjang.

Mengapa ini penting?

Setiap episiotomi memerlukan jahitan untuk menutupnya serta manfaat dan kemudaratan sebagai sebahagian daripada pengurusan rutin bagi kelahiran biasa kekal tidak jelas. Khususnya, kita perlu tahu sama ada episiotomi sememangnya mencegah koyakan yang besar, kerana jika tidak wanita berkemungkinan terdedah kepada satu operasi yang tidak perlu, kesakitan dan dalam beberapa kes menimbulkan masalah dalam jangka masa panjang. Persoalan sama ada untuk mengaplikasi dasar episiotomi rutin adalah penting bagi amalan klinikal dan bagi kesihatan dan kesejahteraan wanita dan bayi.

Apakah bukti yang kita dapati?

Kami menyediakan ulasan pada edisi ini dengan mengemaskini kaedah-kaedah dan mencari bukti daripada tulisan perubatan pada 14 September 2016. Ulasan ini kini melibatkan 11 kajian rawak terkawal (sebanyak 5977 wanita) yang membandingkan episiotomi mengikut keperluan (episiotomi pilihan) dengan episiotomi rutin dari segi manfaat dan kemudaratan untuk ibu dan bayi pada wanita yang berisiko rendah untuk kelahiran berinstrumen.

Kajian-kajian adalah dari sepuluh buah negara yang berbeza. Dalam kalangan wanita yang mana kakitangan kesihatan hanya menjalankan episiotomi pilihan, mungkin terdapat kurang daripada 30% kecederaan perineum yang teruk ketika kelahiran berbanding dengan wanita yang mana dasar episiotomi rutin dilaksanakan (lapan kajian, 5375 wanita, bukti kepastian rendah). Kami tidak tahu jika terdapat perbezaan dalam purata kehilangan darah di antara kumpulan (dua kajian, bukti kepastian yang sangat). Kemungkinan tiadanya perbezaan pada Apgar kurang daripada tujuh ketika lima minit, dengan tiada kejadian pada mana-mana kumpulan (bukti kepastian sederhana). Kami tidak tahu jika terdapat perbezaan pada bilangan wanita dengan kesakitan perineum yang sederhana atau teruk tiga hari selepas melahirkan (satu kajian, 165 wanita, bukti kepastian yang sangat rendah) tetapi penilaian yang teliti pada kesakitan wanita tidak dilaksanakan dengan baik dalam kajian-kajian yang terlibat. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan pada bilangan wanita yang mendapat jangkitan perineum (dua kajian, bukti kepastian yang rendah); dan mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan pada wanita yang melaporkan sakit ketika hubungan seks dalam tempoh enam bulan atau lebih selepas bersalin (tiga kajian, 1107 wanita, bukti kepastian sederhana); masalah lemah kawalan kencing (inkontinens) dalam tempoh enam bulan atau lebih selepas bersalin, mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan antara kumpulan-kumpulan tersebut. Satu kajian melaporkan prolaps genital tiga tahun selepas kelahiran dan tidak terdapat perbezaan yang jelas antara kumpulan (bukti kepastian rendah). Keputusan lain yang penting berkaitan dengan kesan jangka masa panjang tidak dilaporkan dalam kajian-kajian ini (fistula kencing, fistula rektum dan ketidakbolehan mengawal pembuangan air besar (inkontinens tinja).

Satu kajian memeriksa episiotomi pilihan berbanding episiotomi rutin dalam kalangan wanita yang menginginkan operasi kelahiran faraj. Keputusan kajian menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang jelas pada kecederaan perineum yang teruk antara penggunaan episiotomi terhad dan episiotomi rutin.

Pandangan wanita terhadap dasar-dasar berbeza tidak dilaporkan.

Apakah maksud ini?

Secara keseluruhannya, dapatan menunjukkan penggunaan episiotomi pilihan dalam kalangan wanita (bagi kelahiran biasa tanpa forsep yang dijangka) bermaksud semakin kurang wanita yang mempunyai trauma perineum yang teruk. Oleh itu, rasional untuk menjalankan episiotomi rutin untuk mengelakkan kecederaan perineum yang teruk tidak dijustifikasikan oleh bukti semasa, dan kami tidak dapat mengenal pasti apa-apa faedah daripada episiotomi rutin untuk bayi atau ibu.

Lebih banyak penyelidikan diperlukan bagi memaklumkan dasar dalam kalangan wanita yang mana kelahiran berinstrument telah dirancang dan episiotomi selalunya disyorkan. Hasil daripada penyelidikan boleh menjadi piawai yang lebih baik dan diukur.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fairuz Fadzilah Rahim (Penang Medical College). Disunting oleh Ahmad Filza (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi fairuzfr@yahoo.com.

Tools
Information