Adakah favipiravir boleh merawat pesakit COVID-19?

Mesej utama

Disebabkan kekurangan bukti kukuh, kami tidak dapat memastikan sama ada favipiravir memberikan sebarang manfaat dalam rawatan pesakit yang dijangkiti penyakit coronavirus 2019 (COVID-19) yang tidak memerlukan kemasukkan ke hospital, serta mereka yang dimasukkan ke hospital.

Favipiravir mungkin membawa kepada kesan-kesan sampingan yang ringan, tetapi nampaknya tidak mengakibatkan kesan sampingan yang besar atau teruk.

Apakah favipiravir?

Favipiravir adalah ubat yang boleh melawan virus. Ia biasanya diambil melalui mulut. Pada asalnya ubat ini digunakan untuk merawat pelbagai jangkitan virus yang lain, favipiravir telah dicadangkan sebagai berpotensi untuk merawat COVID-19 kerana ia menghalang pembiakan virus. Pengawal selia perubatan telah meluluskan favipiravir untuk penggunaan kecemasan untuk merawat pesakit COVID-19.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada favipiravir adalah lebih baik daripada tiada rawatan, rawatan sokongan atau sebarang rawatan ujikaji antiviral yang lain untuk pesakit COVID-19, dari segi kematian, keperluan untuk mesin pernafasan (pengudaraan mekanikal) dan lain-lain hasil. Kami juga ingin mengetahui sama ada favipiravir dikaitkan dengan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan favipiravir tanpa rawatan, rawatan sokongan atau rawatan antiviral lain pada pesakit yang menghidap penyakit COVID-19. Kami telah bandingkan dan merumuskan keputusan daripada kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami dapati?

Kami menjumpai 25 kajian berkaitan yang melibatkan 5750 orang. Kajian-kajian ini telah dijalankan di 13 negara yang berbeza: Bahrain, Brazil, China, India, Iran, Kuwait, Malaysia, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Thailand, UK, dan Amerika Syarikat. Kebanyakan pesakit dalam kajian-kajian ini berumur bawah 60 tahun dan mempunyai gejala COVID-19 yang ringan hingga sederhana.

Apakah keputusan utama ulasan kami?

• Kami tidak tahu sama ada favipiravir dapat mengurangkan bilangan orang yang mati akibat COVID-19 jika dibandingkan dengan plasebo, rawatan penjagaan standard atau ubat antivirus yang lain. Bukti sokongan tidak begitu kukuh (dapatan kajian diperolehi daripada 11 kajian yang melibatkan 3459 orang).

• Ia juga sangat tidak jelas sama ada favipiravir mengurangkan keperluan pesakit menggunakan ventilator berbanding rawatan plasebo atau sebarang rawatan antivirus yang lain (diperoleh daripada 8 kajian yang melibatkan 1383 orang).

• Pada pesakit yang mengalami gejala ringan, penggunaan favipiravir mungkin tidak mengurangkan kemungkinan dimasukkan ke hospital, tetapi lebih banyak kajian diperlukan untuk kepastian (diperoleh daripada 4 kajian yang melibatkan 670 orang).

• Favipiravir tidak mempunyai kesan yang jelas pada tempoh masa yang diambil untuk pesakit bertambah baik, seperti yang ditakrifkan oleh pengurangan keterukan penyakit mereka (diperoleh daripada 4 kajian yang melibatkan 721 orang).

• Favipiravir hanya menunjukkan sedikit perbezaan dalam mengurangkan keperluan untuk rawatan dengan oksigen, berbanding rawatan plasebo atau rawatan antiviral yang lain (diperoleh daripada 2 kajian yang melibatkan 543 orang).

• Favipiravir berkemungkinan membawa kepada kesan-kesan sampingan yang ringan (diperolehi daripada 18 kajian yang melibatkan 4699 orang) tetapi tidak mengakibatkan kesan sampingan yang besar atau teruk (dapatan kajian diperolehi daripada 12 kajian yang melibatkan 3317 orang).

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti untuk penggunaan favipiravir adalah terhad kerana pesakit dalam kajian mempunyai tahap kemudaratan penyakit yang berbeza dan saiz kajian yang berbeza-beza dan mempunyai keputusan yang tidak konsisten.

Sejauh manakah semakan ini terkini?

Ulasan mengambilkira bukti sehingga 18 Julai 2023.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (International Medical University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information