Apakah manfaat dan risiko pelbagai rawatan kortikosteroid yang diberikan secara intravena untuk pencegahan displasia bronkopulmonari di kalangan bayi yang dilahirkan pramatang?

Mesej utama

· Dalam ulasan ini, kami menggunakan rangkaian meta-analisa (network meta-analysis, NMA), satu alat yang agak baru yang membenarkan perbandingan antara semua pilihan rawatan yang berkaitan, termasuk yang tidak dibandingkan secara langsung antara satu sama lain dalam kajian klinikal sebelum ini.

· NMA dapat menambah sedikit maklumat kepada data sedia ada, terutamanya mengenai perbandingan antara kesan dos kortikosteroid yang berbeza-beza untuk pencegahan displasia bronkopulmonari (bronchopulmonary dysplasia, BPD) di kalangan bayi yang dilahirkan pramatang.

· Cara optimum untuk memberikan kortikosteroid masih tidak diketahui, kerana tiada bukti yang mencukupi mengenai kesan jangka panjang yang berbahaya untuk membimbing sepenuhnya dalam membuat keputusan.

Apakah itu BPD?

Bayi yang dilahirkan sangat pramatang boleh mengalami kecederaan paru-paru yang dikenali sebagai displasia bronkopulmonari (BPD), yang boleh menyebabkan kesan berbahaya yang serius dan berkekalan.

Bagaimanakah BPD boleh dicegah?

Ubat anti-radang yang dikenali sebagai kortikosteroid boleh mengurangkan perkembangan BPD melalui sifat anti-radang, tetapi ia juga mempunyai potensi risiko sendiri. Pelan rawatan kortikosteroid optimum yang mengimbangkan manfaat dan risiko adalah tidak diketahui, termasuk jenis kortikosteroid yang mana (pilihan termasuk dexamethasone dan hydrocortisone), berapa dos kortikosteroid, dan pada umur berapa untuk memulakan rawatan.

Apa yang kami ingin ketahui?

Dalam ulasan ini, kami ingin membandingkan faedah dan risiko pelbagai rejimen rawatan kortikosteroid (jenis kortikosteroid, dos dan tempoh masa) yang dberikan kepada bayi pramatang secara sistemik, iaitu melalui vena.

Apakah yang kami lakukan?

Kami menyertakan kajian yang menilai rawatan kortikosteroid pada bayi yang dilahirkan pramatang yang berisiko untuk mendapat BPD, dan kami melaporkan mana-mana ukuran hasil yang telah kami tetapkan. Kami menyertakan 59 kajian yang melibatkan 6441 bayi dalam analisa kami. Kami memilih untuk membandingkan rawatan kortikosteroid awal (sebelum tujuh hari setelah dilahirkan) dan lewat (tujuh hari atau lebih setelah dilahirkan) secara berasingan, kerana rawatan-rawatan ini mungkin menujukan populasi pesakit yang berbeza.

Apakah yang kami dapati?

Daripada berbagai-bagai rejimen rawatan kortikosteroid yang kami bandingkan untuk merawat bayi yang dilahirkan pramatang, dua rejimen berbeza nampaknya paling bermanfaat dalam membantu bayi hidup tanpa mengalami BPD:

· rawatan dimulakan lambat, selepas 7 hari setelah dilahirkan, dengan dos dexamethasone yang lebih tinggi (pada atau melebihi 4 mg/kg daripada berat badan);

· rawatan dimulakan awal, sebelum 7 hari setelah dilahirkan, dengan dos dexamethasone yang sederhana (pada atau melebihi 2 mg/kg tetapi di bawah 4 mg/kg daripada berat badan).

Lebih banyak kajian diperlukan untuk membandingkan pelbagai rawatan ini dan mempertimbangkan kesan jangka panjang rawatan.

Apakah batasan bukti?

Kepastian kami terhadap bukti pada umumnya adalah rendah.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Kami mencari bukti sehingga Februari 2022.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Tools
Information